Generasi baharu tidak termakan lagi corak politik berasaskan kaum, agama



POSTED BY AMIR WRLR

Perwakilan KEADILAN Negeri Sarawak, Azlan Norita menyifatkan politik perkauman dan agama sudah semakin tidak relevan dan ditolak oleh rakyat terutamanya dalam kalangan generasi baharu.

Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua AMK sempena Kongres Nasional, beliau berkata ini satu perkembangan positif setelah parti politik zaman dahulu telah mencorakkan politik Malaysia agar cenderung kepada kaum dan agama sehingga merasakan mereka adalah suara pembela nasib kaum mahupun agama.

"Mereka kononnya membela nasib kaum dan corak politik perkauman ini diwarisi generasi sebelum kita dan ia masih bersisa hingga ke hari ini.

"Segelintir parti politik menunggang agama demi survival politik namun pada masa sama sikap dan amalan mereka jauh terpesong dari nilai-nilai keagamaan yang diperjuangkan.

"Ada juga parti politik memperjuangkan bangsa mereka tapi masa yang sama mereka adalah juara dalam salah guna kuasa dan korupsi sehingga menindas bukan sahaja bangsa lain tetapi juga bangsa mereka demi memenuhkan poket dan perut mereka.

"Malah tanpa rasa malu ada rumah mereka sebesar mahligai di celah-celah rumah rakyat yang tiangnya hanya tunggu masa untuk runtuh.

"Landskap mula berubah pada 1998 apabila kezaliman dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika titik tolak berlakunya proses reformasi politik yang hebat di negara kita.

"Pelbagai kaum dan kepercayaan dan badan-badan bukan kerajaan bawa arus pembaharuan dalam negara demi keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

"Dalam proses ini jugalah parti yang tidak diasaskan atas dasar kaum mahupun agama parti ditubuhkan atas prinsip keadilan untuk semua.

"Parti ini meraikan pelbagai kaum dan agama dengan mendaulatkan rakyat melalui proses demokrasi, itulah parti KEADILAN yang melambangkan bangsa Malaysia yang sebenarnya.

"Negeri Sarawak adalah contoh bukan setakat kaum Melayu, Cina dan India malah mempunyai bangsa lain seperti Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Hulu serta lebih 20 etnik yang mampu duduk sekali.

"Namun peredaran zaman bergerak ke depan generasi baharu tidak termakan lagi dengan hasutan dan sogokan pemerintahan seperti ini.

"Anak-anak muda sebagai pewaris negara harus mengglembeng baik dari pelusuk mana kita, membawa corak dan modal politik baharu yang lebih berdaulat dan mendaulatkan rakyat dan bukan bersifat perkauman," katanya.