BOLEHKAH PERUBAHAN NADA TAKIYUDDIN DIPERCAYAI SEDANGKAN ORANG KANAN MAHIADDIN SENDIRI BERKERAS TIDAK MAHU PARLIMEN BERSIDANG?

 Sebelum ini iaitu pada 3 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan secara tegas berkata, kerajaan telah memutuskan menolak sidang Parlimen daripada diadakan ketika tempoh darurat.

Kata beliau, ada alasan perundangan dan ada alasan dari segi sains dan data untuk menangguhkan dahulu persidangan Parlimen.

Takiyuddin menambah, antara alasan bagi menangguhkan persidangan Parlimen dari aspek perundangan kerana Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan ketika tempoh darurat, Agong boleh membuat ordinan.

“Jadi bila Agong sudah boleh buat undang-undang, maka keperluan untuk Parlimen bersidang dan buat undang-undang sudah tidak ada.



“Kedua, kita melihat tumpuan dan fokus kerajaan sekarang ini adalah untuk memerangi Covid19, termasuk Ahli Parlimen itu sendiri yang mana mereka juga dikira petugas barisan hadapan,” tegasnya.

Selain itu, tegas beliau, kerajaan bukan sahaja mahu membendung penularan wabak Covid19 dalam kalangan rakyat, sebaliknya turut ingin melindungi 220 Ahli Parlimen.

“Saya hendak nyatakan di Parlimen kita sekarang ada 220 Ahli Parlimen (dua meninggal dunia) dan daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang adalah individu berumur 61 tahun hingga 69 tahun.

“Yang berumur 70 tahun hingga 79 tahun pula ada 19 orang, manakala yang berusia 80 tahun ke atas ada seramai empat orang.

“Jadi, hampir sebahagian Ahli Parlimen kita termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus Covid19. Kita tidak mahu Ahli Parlimen turut terdedah dengan wabak ini,” katanya lagi.





Tetapi, hari ini beliau berubah nada dengan berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid iaitu sebahagian Ahli Parlimen hadir secara fizikal dan sebahagian lagi secara maya.

“Langkah ini diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat,” tambah Takiyuddin lagi.

Boleh percaya ke cakap Takiyuddin ini?

Adakah kenyataan terbaru ini hanya untuk meredakan kemarahan ramai?

Persoalan lain pula, mahu mengkaji itu akan mengambil masa berapa lama – sebulan, tiga bulan, enam bulan, setahun atau tiada tempoh masa tertentu?

Jika begitu, bilakah sidang Parlimen secara hibrid itu bakal diadakan?




Begitu pun, di sebalik Takiyuddin dilihat berubah nada, orang paling kanan kepada Mahiaddin selain Azmin Ali iaitu Hamzah Zainuddin, tetap berkeras menolak sidang Parlimen daripada diadakan sekarang ini.

Kata beliau, sidang Parlimen hanya boleh diadakan semula selepas negara berjaya mencapai imuniti kelompok untuk menangani virus Covid19.

Jika tidak, tambau beliau, tindakan membenarkan sidang Parlimen hanya mendedahkan kepada wujudnya lebih banyak kluster jangkitan.

“Contohnya jika Parlimen buka selama sebulan…Isnin sampai Khamis empat hari berturut-turut.

“Berapa orang ada di Parlimen tu? Setiap Ahli Parlimen ada pegawai-pegawainya, pegawai-pegawai kerajaan juga ada situ, pegawai dan kakitangan Parlimen di kafeteria, kantin, driver dan lain-lain semuanya akan melebihi seribu orang.

“Duduk dari pagi hingga pukul lima atau enam petang, bukankah ini akan jadi titik panas Covid19,” ujarnya berhujah.

Di samping itu, Speaker Parlimen lantikan Mahiaddin, Azhar Azizan Harun juga beberapa kali menolak sebarang desakan untuk memanggil sidang Parlimen ketika tempoh darurat.

Bahkan, Azhar juga menolak sidang Parlimen daripada diadakan secara maya kerana menurutnya, peruntukan undang-undang mengatakan ia mesti diadakan di Bangunan Parlimen secara fizikal.

Seterusnya, beliau berkata, banyak undang-undang yang perlu dipinda terlebih dahulu untuk membolehkan Parlimen bersidang secara maya seperti yang digesa banyak pihak.

Mengambil kira semua rentetan perkembangan yang ada ini, bolehkah dipercayai serta diyakini kata-kata Takiyuddin yang mengatakan kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan Parlimen secara hibrid itu?




Dengan keyakinan bahawa Mahiaddin pasti akan merujuk atau meminta pandangan daripada Hamzah dan Azmin sebagai orang-orang kanannya terlebih dahulu, tidak terkecuali tentunya Azhar juga, sebenarnya adalah sia-sia saja berharap yang positif daripada kenyataan Takiyuddin itu.

Ini kerana ketiga-tiga mereka itu tidak mahu sama sekali sidang Parlimen daripada diadakan lantaran jika berlaku usul undi tidak percaya dan Mahiaddin kecundang, mereka juga akan sama hilang jawatan.

Sebagaimana disebut pada awal tadi, sementara masa berlalu, Takiyuddin barangkali sengaja berbuat demikian semata-mata untuk meredakan kemarahan ramai saja.

Akhirnya, dengan masa terus berlalu bersama PKP yang bersambung-sambung, disertai tidak mustahil darurat juga mungkin dipanjangkan lagi, sudah tiada apa-apa yang akan berlaku.

Mahiaddin terus kekal, kerajaan PN juga kekal, menteri-menteri turut kekal dan yang berubah hanyalah angka kes dan jumlah kematian yang meningkat akibat Covid19.

Tiada cara lain untuk melihat sidang Parlimen dapat diadakan melainkan UMNO yang turut kuat mendesak perkara tersebut agar berani bertindak menarik sokongan terhadap Mahiaddin dan menjatuhkan PN daripada menjadi kerajaan.

Sudah tidak boleh ditangguh lagi keperluan UMNO, BN dan PH untuk saling bekerjasama menyelamatkan negara ini daripada kekacauan, huru-hara dan lintang-pukang selagi Mahiaddin tidak ditarik keluar daripada jawatannya. 

(ShahbudinHusin 04/06/2021)



No comments: