Tokoh korporat ganti Nazlan Pengerusi LGM

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata antara tugas diamanahkan kepada Raja Idris Raja Kamaruddin ialah menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu.

PETALING JAYA: Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang sedang bergelut dengan “skandal penjualan dan pajakan tanah”, melantik seorang tokoh korporat sebagai pengerusi baharunya.

Raja Idris Raja Kamaruddin menggantikan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris, yang ditamatkan perkhidmatan pada 14 April.

Dalam kenyataan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata pelantikan Raja Idris berkuatkuasa 15 April lalu.

“Antara mandat utama yang diamanahkan kepada Raja Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah yang dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu.

“Beliau juga diamanahkan membentangkan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM,” katanya.

Khairuddin berkata, selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, pelantikan beliau diharap bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan yang lebih baik, profesional dan berintegriti.

Mengenai kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) susulan peletakan jawatan Ahmad Jazlan Yaakob, Khairuddin berkata, Timbalan Ketua Setiausaha(Perladangan dan Komoditi), KPPK, Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah untuk terus mengelola Lembaga itu.

“Ini susulan Ahmad Nazlan menolak pelantikan beliau sebagai Pengerusi MPOB untuk menggantikan Jazlan. Calon baharu bagi jawatan berkenaan akan ditentukan semula kemudian,” katanya.

Raja Idris adalah abang kepada Blogger Raja Petra Kamaruddin yang kalah dalam saman yang dikemukakan oleh YB Lim Guan Eng.

No comments: