Datuk Seri Rosmah Mansor diarahkan membela diri di atas dakwaan rasuah melibatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam keputusannya pagi ini berkata, pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan.
“Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Rosmah, 69, yang berbaju kurung kuning kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan. Suami beliau, Datuk Seri Najib, juga berada di mahkamah ketika keputusan dijatuhkan.
Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Rasuah itu didakwa diterima isteri bekas Perdana Menteri itu menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.
Perbicaraan yang bermula sejak 5 Feb 2020 itu mengemukakan 23 saksi sepanjang 33 hari sesi perbicaraan.