KUALA LUMPUR: Najib Razak akan menemani Rosmah Mansor Mahkamah Tinggi memberikan keputusannya esok, sama ada isterinya itu perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi sekolah di pedalaman Sarawak, atau membebaskannya.
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang mendengar perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bahawa anak guamnya mahu menghadiri prosiding mahkamah Rosmah sebelum menghadiri perbicaraannya sendiri yang dijadualkan bermula 9.30 pagi.
“Anak guam saya mahu berada di sana untuk menyokong isterinya,” kata Muhammad Shafee.
Sequerah kemudiannya membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan perbicaraan kes berkaitan 1MDB itu bermula pada 10 pagi atau apabila prosiding kes Rosmah selesai.
Kes Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan dijadualkan bermula 9 pagi.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Shafee berkata tiga Timbalan Pendakwa Raya dalam kes 1MDB turut memaklumkan kepada hakim bahawa mereka juga akan menghadiri prosiding kes Rosmah.
“Dan saya kemudian memaklumkan bahawa anak guam saya mahu memberi sokongan, sokongan emosi ketika isteri menerima keputusan sama ada dipanggil membela diri atau tidak,” katanya kepada pemberita.
Ditanya adakah Najib akan dibenarkan menghadiri prosiding (kes Rosmah) itu, Muhammad Shafee berkata tidak ada masalah kerana esok adalah hari keputusan dan bukan perbicaraan (memberi keterangan).
Najib sebelum ini diminta supaya tidak berada dalam prosiding mahkamah ketika beliau menghadiri perbicaraan kes Rosmah.