Wanita PH mahu hukuman lebih tegas anggota polis salah laku

 

Image result for fuziah salleh



Meskipun menerima baik pengumuman Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya menyatakan 11 pegawai polis (PDRM) yang didapati cuai menjalankan tugas dalam insiden hitam mengakibatkan seorang kanak-kanak perempuan dirogol di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak pada 9 Januari lalu akan diturunkan pangkat atau dibuang kerja, Wanita Pakatan Harapan (PH) tetap mahukan tindakan lebih tegas dilakukan.

Menurut Ketua-ketua Wanita komponen PH itu, sekiranya wujud elemen jenayah dan kecuaian menurut peruntukan undang-undang sedia ada maka anggota-anggota tersebut wajar dihadapkan ke mahkamah dan bukan melalui proses tindakan tatatertib.

Kata mereka, semua yang terlibat itu perlu disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya di bawah Seksyen 31 yang memperuntukkan bahawa mana-mana orang, menjadi orang yang menjaga anak – menyalahgunakan, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan anak atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan dia cedera fizikal atau emosi, atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera, diabaikan, ditinggalkan atau didedahkan atau melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak itu, atau menyebabkan atau membenarkannya (dia) didera sedemikian adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dari 20 tahun atau kedua-duanya.

“Dalam hal ini kami juga kesal akan pelbagai reaksi dan komen negatif daripada masyarakat terutamanya warganet yang memperlecehkan wanita serta meremehkan aduan mangsa-mangsa. Komen-komen kebanyakannya bersifat menuding jari kepada mangsa, mempersoalkan kesahihan dakwaan dan menghakimi tindak-tanduk serta penampilan mangsa.

“Kami menegaskan stigma negatif, sikap menyalahkan dan menghakimi mangsa ini merupakan punca utama mangsa enggan tampil membuat laporan kerana khuatir dikutuk masyarakat dan dipersalahkan, sehingga pelaku gangguan seksual terlepas daripada tindakan jenayah mereka.

“Kami ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas tindakan berani beberapa mangsa yang telah tampil membuat laporan, walaupun banyaknya cabaran, halangan dan tekanan yang mungkin mereka tempuhi. Keberanian ini perlu dijadikan contoh oleh semua mangsa yang pernah melalui trauma yang sama untuk tampil melaporkan jenayah,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Wanita PH juga menempelak sikap sesetengah pihak yang mempersoalkan sama ada dakwaan-dakwaan dikemukakan itu palsu atau tidak berasas, kerana realitinya, kata mereka tidak sampai 1% aduan gangguan seksual adalah palsu dan lebih malang lagi majoriti wanita dan keluarga mangsa enggan mengemukakan aduan disebabkan bimbang dikecam oleh masyarakat sekeliling.

“Gejala menghukum mangsa (oleh masyarakat) hanya akan merumitkan lagi usaha menangani gangguan seksual kerana gangguan biasanya berlaku secara peribadi. Kekurangan saksi bagi membuktikan kesalahan pelaku dan ketiadaan undang-undang khusus menangani gangguan seksual menyebabkan hanya dengan sokongan institusi keluarga dan komuniti sekeliling sahaja boleh membantu mangsa keluar daripada situasi gangguan ini.

“Sehubungan itu, kami ingin menzahirkan solidariti kepada semua wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa gangguan seksual dan pencabulan dan menyeru mereka agar tidak gentar tampil mendapatkan keadilan serta tidak berdiam diri,” kata mereka.

Selain itu, Wanita PH turut mahu pihak PDRM menyemak kembali dan memperkemaskan prosedur operasi standard menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa serta mengelakkan berulangnya pelbagai kejadian cuai, tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.

“Kami juga menggesa agar fungsi Parlimen dikembalikan dan bersidang bagi memastikan beberapa Rang Undang-Undang berkaitan dapat segera dibentang dan diluluskan.

“Ini termasuklah Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 (menggantikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) 2019), yang telah beberapa kali ditangguhkan kesan daripada tercetusnya politik khianat,” kata mereka lagi.

Wanita PH menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil oleh wanita sekiranya menghadapi gangguan seksual.

i. Merekodkan butiran kejadian dan pelaku serta merakam secara audio dan visual perbuatan itu sekiranya keadaan mengizinkan.

ii. Segera membuat laporan polis supaya siasatan dapat dilakukan. Sebaiknya anda tidak berseorangan, ajak ahli keluarga, rakan atau peguam mengiringi anda membuat laporan polis.

iii. Menghubungi talian-talian sokongan untuk bantuan lanjut seperti :-

Women’s Centre for Change (WCC) – Penang
(04-228 0342 / 011-3108 4001 – Whatsapp);

SNEHAM Malaysia
(+60 1-800-22-5757 – Hotline);

All Women Association Malaysia (AWAM)
(016 237 4331 – Telenita Helpline);

Women Aid Organization (WAO)
(+603 7956 3488 – Helpline / +6018 988 8058 – Whatsapp),

Sister In Islam (SIS)
(012-812 3424 – Telenisa Hotline); dan

Talian Kasih
(15999).

iv. Berkongsi dengan orang yang boleh dipercayai dan dapatkan sokongan.

v. Jika menghadapi trauma atau tekanan, dapatkan nasihat pakar atau kaunselor berdaftar.

vi. Usah berdiam diri kerana anda tidak boleh menghentikan gangguan seksual dengan berdiam diri, sebaliknya aduan anda mampu menyelamatkan lebih ramai orang lain daripada menjadi mangsa.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wanita DAP Kebangsaan Chong Een, Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Senator Aiman Athirah Al Jundi dan Ketua Wanita KEADILAN Fuziah Salleh