PAS nafi ambil kesempatan bila ‘main dua kolam’

 


PAS nafi ambil kesempatan bila ‘main dua kolam’


Pas menafikan cuba mengambil kesempatan bagi mendapatkan kuota pembahagian kerusi apabila kekal dalam dua gabungan parti politik iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan mengatakan Pas mengambil peluang atas kedua-dua gabungan itu adalah sangat tidak wajar.

Menurutnya, proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) antara kesemua parti berlangsung dalam suasana harmoni.

“Ketika ini proses pembahagian kerusi berlangsung dalam suasana baik demi penyatuan umat Islam dan Melayu.

“Kenapa perlu kaitkan keberadaan Pas dalam dua kolam (gabungan politik) sama ada MN atau PN? Politik kolam ini orang sudah tinggal lama sebab tidak boleh pergi jauh, tidak perlu kolam sekarang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, rundingan agihan kerusi kini melebihi 60 peratus selesai tanpa mengambil kira isu ‘kolam’ berdasarkan formula yang diguna pakai gabungan itu.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang memberi peringatan kepada Pas agar jelas dalam pendirian parti itu yang dilihat berada dalam dua kolam politik.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, pembahagian kerusi di Perak juga sepatutnya hanya dibincangkan antara UMNO dan Pas berdasarkan piagam serta Majlis Tertinggi MN antara kedua-dua parti itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Pas bersedia ‘berenang’ dalam 10 kolam sekalipun selagi ia dapat menyatukan ummah, umat Islam dan parti Melayu.

“Selagi ia membawa kepada perpaduan dan tidak memecahbelahkan umat Islam kepada banyak parti, kita bersedia. MN ditubuhkan oleh Pas dan UMNO, tiada siapa boleh pecat Pas dari MN. Matlamat Pas adalah perkukuhkan MN dan pertahankan PN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak tertentu yang sengaja menimbulkan ketegangan bagi menyukarkan rundingan pembahagian kerusi supaya menilai kembali matlamat asal penubuhan MN dan PN.

“Tengok balik mengapa kita berada di sini? Adakah apabila kita dalam keadaan sekarang dan selesa, kita mahu ajak semua pihak kembali ke tempat asal?

“Janganlah diajak balik ke tempat kita berperang dulu kerana tempat itu telah ditinggal menjadi hutan. Sepatutnya kita bergerak ke depan dan teroka dimensi baharu yang memberi faedah kepada semua orang, menzahirkan lebih banyak kebaikan berbanding sengketa,” katanya. 



No comments: