Mengapa Malaysia perlu langgan khidmat siber syarikat Israel?
- Merujuk kepada kenyataan media oleh Pertubuhan BDS Malaysia (BDS) mengenai isu kebimbangan keselamatan siber Malaysia, saya menggesa kerajaan memberi penjelasan berkenaan hubungan kerajaan sebagai pelanggan kepada firma Circles, anak syarikat milik Israel, NSO Group.
- Menurut laporan The Guardian bertarikh 22 Disember 2020, NSO Group kini berhadapan dengan tindakan undang-undang di mahkamah Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan menyediakan medium penggodaman untuk memperolehi maklumat bersasar secara tidak sah. Antara sasaran penggodaman ini adalah para diplomat, ahli politik, pejuang hak asasi manusia dan wartawan.
- Kajian oleh Citizen Lab dari Universiti Toronto, AS menunjukkan bahawa Malaysia merupakan antara pelanggan dan sebahagian daripada jaringan hub kepada sistem trafik milik Circles. Berpandukan kajian ini, Circles didakwa mengamalkan jenayah penggodaman sistem telefon bimbit seluruh dunia.
- Perkara ini menimbulkan kebimbangan terkait ancaman terhadap sistem keselamatan siber dan telekomunikasi Malaysia. Isu ini tidak boleh dipandang enteng mengambil kira faktor gangguan kepada ruang privasi individu dan ruang keselamatan komunikasi maklumat dalam negara.
- Selain itu, tindakan melanggan khidmat firma NSO Group dari Israel ternyata bertentangan dengan prinsip dan dasar negara untuk tidak melakukan sebarang hubungan dan perdagangan dengan Israel dan entiti-entiti Israel. Perkara ini sudah tentu akan mencemarkan kelantangan suara dan usaha para individu, NGO dan kerajaan Malaysia sendiri terhadap kekejaman tingkah laku Israel terhadap penduduk Palestin.
- Lantaran itu, saya menggesa kerajaan melalui Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk menyiasat dan memberikan penjelasan berkenaan perkara ini. Dalam era digitalisasi dan komunikasi digital ini, ancaman serangan terhadap keselamatan siber ini wajar dipandang serius kerana ia melibatkan sektor pertahanan, ekonomi dan hubungan negara.
SYED IBRAHIM SYED NOH
Ahli Parlimen Ledang
Pengerusi KEADILAN Negeri Johor