Dr Xavier tolak persepsi media kaitkan beliau dengan rasuah
Propaganda media arus perdana membayangkan M A Tinagaran, pemimpin KEADILAN Perak yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kononnya merupakan pembantu kepada Datuk Dr Xavier Jayakumar telah mewujudkan presepsi negatif.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, Tinagaran tidak pernah menjadi pembantunya dan beliau juga tidak pernah membenarkan amalan kosupsi ketika menjadi Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli selama 22 bulan.
“Saya tidak pernah membenarkan rasuah dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH), dan saya tidak akan pernah meninggalkan nilai-nilai saya sebagai salah seorang reformis awal KEADILAN.
“Dalam laporan media baru-baru ini, nama saya dinyatakan, dan itu menimbulkan prasangka terhadap saya sebagai wakil rakyat. Bertindak atas nasihat keluarga dan rakan-rakan, saya di sini untuk membersihkan nama saya dengan pihak berkuasa.
“Keputusan utama yang dibuat oleh kementerian (kerajaan) mesti diluluskan secara kolektif dalam Kabinet. Saya juga berharap agar orang ramai menunjukkan rasa hormat kepada pihak berkuasa dalam mengendalikan siasatan yang melibatkan M A Tinagaran yang bukan pembantu saya seperti yang dilaporkan, tetapi (beliau hanyalah) rakan keluarga terdekat,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga berkata pemimpin seharusnya memelihara integriti kementerian atau pun parti dan tidak boleh terpalit dengan salah laku rasuah.
“Pemimpin mesti bertanggungjawab untuk memelihara integriti institusi kita dan kita bertanggungjawab untuk menunjukkan pemerintahan yang baik,” katanya.
Beliau juga mendesak agar Parlimen dibenarkan kembali bersidang. Penggantungan Parlimen sebaliknya lebih memudahkan gejala rasuah berlaku kerana kerajaan tidak disemak dalam sebarang keputusan pemberian tender atau projek.
“Parlimen mesti bersidang semula agar wakil rakyat kita terus melakukan pembaharuan dan KEADILAN tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk rasuah di negara ini,” katanya lagi.