Anwar nafi punya kaitan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia

 


Kenaikan beberapa kaunter tertentu di Bursa Malaysia sejak kebelakangan ini tidak mempunyai kaitan dengan peribadi atau gerakan politik Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikan beliau memilikki saham dalam syarikat-syarikat tertentu yang meningkat kedudukannya sejak beberapa hari lalu.

 "Saya difahamkan tersebar khabar angin di pasaran saham yang mengaitkan nama saya dengan kaunter-kaunter tertentu di Bursa Malaysia. Ini adalah tidak benar sama sekali.

 "Ingin ditegaskan saya tidak memiliki saham dalam mana-mana syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Cakap-cakap yang mengaitkan nama saya dengan syarikat tertentu adalah palsu dan berniat menipu para pembeli saham.

 "Saya meminta Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar pasaran saham tidak dimanipulasi oleh individu tertentu mengaut keuntungan dengan menyebar khabar palsu," katanya dalam satu kenyataan.

 Sejak dua minggu lalu pelbagai pihak cuba membayangkan kenaikan dan penurunan prestasi Bursa Malaysia dengan pengumuman Datuk Seri Anwar telah mempunyai majoriti yang cukup untuk mengambilalih pemerintahan negara.

 Khabar-khabar angin juga digunakan bagi menggambarkan bahawa beliau di belakang syarikat tertentu oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.


No comments: