Bagi menjawab kenyataan Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Nasional saudara Ashraf Mustaqim Badrul Munir, pertama saya ingin meminta beliau untuk memahami dahulu prosedur atau proses yang perlu dilakukan oleh seseorang yang telah mendapat majoriti sokongan Ahli-Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru.
Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak mengheret institusi DiRaja kerana itu adalah proses yang beliau perlu lakukan bagi mempersembahkan bukti bahawa beliau telah mempunyai sokongan majoriti. Bahkan Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong juga telah memperkenan untuk menerima Dato' Seri Anwar untuk mengadap baginda. Di sini jelas Dato' Seri Anwar mengikut prosedur yang sebenar.
Pihak yang mengheret institusi DiRaja adalah mereka yang tidak berpuas hati dengan Dato' Seri Anwar serta cuba menjadi jurucakap tidak rasmi kepada Istana walaupun pihak Istana telah memperkenan Dato' Seri Anwar untuk mengadap Baginda Yang Dipertuan Agong.
Kedua, punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dahulu adalah kerana Muhyiddin bersekongkol dengan beberapa pengkhianat untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa KEADILAN, DAP dan AMANAH. Malah lebih memalukan mereka sanggup bersama UMNO yang telah ditolak rakyat pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu. Dan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan juga bila Tun Mahathir tanpa berbincang dengan rakan komponen membuat keputusan sendiri meletakkan jawatan seterusnya memberi laluan kepada pengkhianat untuk merampas kuasa.
Mengapa Dato' Seri Anwar dipersalahkan terhadap tindakan Muhyiddin dan gerombolan pengkhianat menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan?
Ketiga, Dato' Seri Anwar tidak meminta pun untuk Parlimen dibubarkan namun hanya ingin proses yang tenang dalam peralihan kuasa.
Jika saudara Ashraf ingin mempergunakan Perkara 40(2) dan menyatakan kerajaan Perikatan Nasional diiktiraf bernaung dibawah Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, saudara Ashraf perlu ingat semula bagaimana kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dahulu. Ia sama juga dengan proses yang ingin dilakukan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tidak ada istilah ingin menderhaka atau seumpamanya.
Dato' Seri Anwar juga tidak pernah mendesak pihak Istana dan beliau tenang menunggu jemputan dari pihak Istana. Yang rasa pihak istana didesak hanyalah pihak yang takut jika Dato' Seri Anwar berjaya mempersembahkan akuan bersumpah sokongan terhadap beliau.
Adakah ARMADA BERSATU cuba menjadi jurucakap kepada Istana? Adakah Istana memaklumkan kepada ARMADA BERSATU bahawa mereka didesak oleh Dato' Seri Anwar?
Jika saudara Ashraf bercakap soal demokrasi, adakah rakyat memilih kerajaan Perikatan Nasional pada Pilihanraya Umum ke-14 lalu? Adakah rakyat mengundi untuk UMNO dan sekutunya menjadi kerajaan semula?
Di sini saya ingin memberi nasihat kepada saudara saya di ARMADA BERSATU agar tidak mempergunakan institusi DiRaja mahupun nama DYMM Yang DiPertuan Agong.
Biarlah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong serta Majlis Raja-Raja yang menilai. Majlis Raja-Raja bijak dalam menilai dan tidak memerlukan ARMADA BERSATU untuk membuat keputusan bagi pihak Istana.
Daulat Tuanku!
RAZEEF RAKIMIN
Ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan Sabah
11 OKTOBER 2020
#MuhyiddinOut