Pengumuman perintah kawalan pergerakan kelirukan rakyat - Dr Lee

 


Pengumuman kerajaan berhubung perintah kawalan pergerakan di beberapa tempat di negara ini sebenarnya mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, kata jurucakap Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.

 Bekas timbalan menteri kesihatan itu berkata ini terbukti menerusi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Klang.

 "Pengumuman PKPB Klang baru-baru ini cukup kalut dan mengelirukan. Rakyat keliru sama ada sesetengah tempat sahaja terlibat atau meliputi seluruh Mukim Klang.

 "Apa yang lebih mengelirukan adalah aktiviti apa yang dibenarkan ketika PKPB. Tetapi kekeliruan ini boleh ditangani dengan lebih baik," katanya dalam kenyataan.

 Boon Chye berpandangan, salah satu caranya adalah untuk memperkenalkan garis panduan khusus mengenai perintah kawalan pergerakan (PKP).

 "Sebagai permulaan, PKP berkesan untuk mengawal virus SARS CoV2 yang menyebabkan COVID-19 dari menjangkiti manusia. Ia efektif seolah-olah seperti vaksin ketika vaksin sebenar masih belum dapat dicipta hingga hari ini. Ini kerana manusia adalah satu-satunya hos kepada virus SARS CoV2 dan ketika penularan manusia ke manusia dihentikan, wabak dapat dikendalikan dan dapat berakhir secara spontan.

 "Setiap PKP mempunyai 3 parameter yang perlu ditentukan, iaitu tempoh PKP, lokasi PKP dan tahap PKP tersebut.

 "Parameter ini diputuskan berdasarkan sejauh mana penyebaran wabak. Sebilangan besar kekeliruan rakyat adalah mengenai aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.

 "Justeru, saya mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk menetapkan garis panduan khusus mengenai empat tahap PKP dan bukannya istilah PKPD, PKPB dan PKPP," katanya.

 Berikut merupakan cadangan Lee Boon Chye terhadap tahap PKP:

 

Tahap 4 PKP: bentuk PKP yang paling teruk seperti 18/3/2020 apabila semua perkhidmatan yang tidak penting, awam atau swasta, tidak dibenarkan. Pergerakan manusia dihalang.

 

Tahap 3 PKP: membenarkan aktiviti berisiko rendah (contohnya jabatan kerajaan, pejabat, kebanyakan perniagaan kecuali tempat hiburan dan makan di restoran) untuk disambung semula dengan 'normal baharu' (iaitu jarak fizikal, memakai topeng, sanitasi tangan, sanitasi kawasan umum, pemeriksaan suhu dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera). Tidak ada perhimpunan orang yang melebihi 10 orang dalam satu masa.

 

Tahap 2 PKP: membenarkan kebanyakan aktiviti termasuk makan di restoran, sekolah dan institusi pendidikan untuk disambung semula dengan 'normal baharu'. Tidak ada perhimpunan lebih dari 100 orang.

 

Tahap 1 PKP: biarkan semua aktiviti termasuk tempat hiburan disambung semula dengan 'normal baharu'. Tiada sekatan orang ramai selagi jarak fizikal dapat dijaga.

 Boon Chye menjelaskan, apabila PKP dikenakan untuk jangka waktu tertentu, di lokasi tertentu, MKN hanya perlu mengumumkan tahap PKP yang secara automatik menentukan jenis aktiviti yang dibenarkan atau tidak diizinkan.

 "Ini akan menjadi lebih jelas. Klasifikasi ini akan mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat, dan juga agensi penguatkuasaan. Ini juga akan mengelakkan kenyataan yang berbeza dari menteri yang berbeza," katanya.

 

No comments: