PRN Sabah: PKR desak hentikan amalan ‘cash is king’

 

PRN Sabah: PKR desak hentikan amalan ‘cash is king’

Muhyiddin Yassin sepatutnya menghentikan amalan ‘cash is king’ yang pernah dilawan dan ditegurnya dahulu, demikian menurut Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak seharusnya menggunakan isu bantuan untuk meraih undi di PRN Sabah.

Muhyiddin terdahulu, dilaporkan berkata akan menyalurkan lebih banyak bantuan sekiranya pengundi Sabah memilih parti Kerajaan Persekutuan pada PRN nanti.

“Saya cukup terkejut membaca kenyataan Perdana Menteri.

“Ini kerana kenyataan tersebut mewujudkan persepsi pengundi Sabah hanya akan terima lebih banyak bantuan jika mereka memilih parti Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Katanya, kenyataan Muhyiddin itu berniat mempengaruhi pengundi dengan tawaran “Undi parti Kerajaan Persekutuan, bantuan lebih banyak. Undi yang lain, bantu cukup syarat sahaja.”

“Ini adalah amalan “cash is king”, yang dahulunya ditegur dan dilawan YAB Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Malangnya, katanya kenyataan beliau ini mirip apa yang beliau sendiri tegur dan lawan dahulu. Apa sudah jadi?

“YAB Perdana Menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi,” katanya.

Tambahnya, beliau harus menjadi Perdana Menteri untuk semua negeri dan semua rakyat Malaysia, bukan sahaja Perdana Menteri untuk negeri-negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Jika beliau enggan bantu negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau berundur dari menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Justeru, katanya rakyat Sabah berhak memilih mana-mana parti yang mereka ingini, dan Kerajaan Persekutuan tiada hak untuk menafikan keputusan rakyat.

“Saya percaya rakyat Sabah cukup matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata,” katanya

Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengundi perlu memilih Kerajaan Negeri Sabah yang sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan urusan pentadbiran dan pembangunan.

Perdana Menteri berkata Sabah akan menjadi lebih gemilang jika dipimpin Perikatan Nasional (PN) bersama-sama parti yang sehaluan dengannya.

 

No comments: