Christina Liew banyak berjasa di Sabah, jangan lupa undi KEADILAN - Shafie Apdal

 

 






Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal menyeru rakyat supaya mengundi calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Christina Liew pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Beliau berkata, Christina berjaya membawa hasil pendapatan yang banyak dalam industri pelancongan sepanjang beliau berkhidmat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Sabah.

 Justeru, Shafie mahu Christina terus berbakti dengan kerajaan negeri dan menyeru rakyat supaya mengundi di DUN Api-Api.

 "Sepanjang tempoh berkempen saya mahu tolong kawan-kawan terutamanya Christina Liew.

 "Di bawah kementerian yang diterajui Christina, lebih 4 juta pelancong datang ke Sabah, paling banyak dalam sejarah, kalah Barisan Nasional (BN) punya menteri. Tahniah Christina.

 "Disebabkan itu, Sabah mendapat pulangan sehingga RM12 juta hasil cukai pintu sewa bilik hotel. Tetapi mereka juga beli pakaian, makan dan minum, pengangkutan, tiket kapal terbang, semua ini cecah berbilion-bilion," katanya ketika majlis bersama calon-calon Warisan Plus di Kota Kinabalu.

 Pada masa sama, Shafie memberikan sokongan penuh kepada KEADILAN, kerana beliau tidak rela melihat Perikatan Nasional dan Barisan Nasional mengambil alih kerajaan negeri.

 "Undilah Warisan, tetapi jangan lupa undi KEADILAN. Kalau tidak nanti, Bung Mokhtar atau Hajiji Md Nor yang akan jadi ketua menteri.

 "Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak bertanding pun tapi ada poster tanda pangkah dia. Jadi, dia nak katakan dia berkuasa di Sabah. Cukup-cukuplah, biar orang Sabah yang buat keputusan siapa akan jadi kerajaan negeri bukan kerajaan dari Kuala Lumpur.

 "Jadi, jangan lupa undi calon KEADILAN, undilah Christina Liew, beri sokongan kepada beliau," katanya.

 

No comments: