Pengerusi Majlis Penasihat
KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Sabah supaya
mengundi Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September
ini.
Beliau percaya pengundi di
Negeri di Bawah Bayu itu mampu membezakan gabungan parti mana yang lebih baik
untuk menerajui negeri tersebut.
"Orang sabah tahu nak undi
siapa, tahu bezakan baik dan buruk, mana intan dan permata, mana yang kaca mana
yang berharga.
"Ini juga peluang untuk
orang Sabah singkirkan mereka yang tidak diperlukan dan tidak diingini di
negeri ini," katanya dalam majlis bersama calon-calon Warisan Plus yang
bertanding di Kota Kinabalu.
Bekas timbalan perdana menteri
itu berkata, rakyat Sabah perlu tunjukkan bahawa mereka hanya akan memilih
calon yang memegang prinsip integriti, bukannya mereka yang mengkhianati parti
dan rakyat.
"Pilihlah yang mana bagus.
26 September ini buktikan kepada mereka, tunjukkan kepada mereka bahawa soal integriti,
keadilan, nilai seorang manusia dan amanah itu lebih penting dari kebendaan di
dunia ini.
"Nilai yang dipegang,
integriti dan maruah jangan lupa, pilihlah intan, bukan yang kaca. Hanya
kilauan tapi tidak bermakna," katanya.