Pengumuman pengembalian Elaun Sara
Hidup (ESH) Nelayan RM300 yang dibuat semalam bukanlah dasar Kerajaan Perikatan
Nasional (PN).
Mantan Timbalan Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin
harus menguatkan kembali ingatannya bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
sebelum ditumbangkan telah bersetuju untuk mengembalikan amaun RM300 bagi ESH
Nelayan pada 2020.
Bukan itu sahaja, tambah Sim,
kerajaan PH juga telah membuat dasar baharu memperkenalkan caruman PERKESO
untuk nelayan.
Justeru, pengembalian elaun yang
diumumkan Muhyiddin hanyalah penerusan dasar PH, bukannya dasar baharu PN.
"Semasa Datuk Seri Salahuddin
Ayub dan saya memimpin Kementerian Pertanian, kami melakukan dua perkara utama
untuk nelayan tradisional, iaitu mengembalikan ESH ke jumlah RM300 pada tahun
2020 dan caruman PERKESO nelayan.
"Malah pada hari terakhir saya
menjawat Timbalan Menteri, mesyuarat terakhir saya pengerusikan adalah bersama
pegawai dari Jabatan Perikanan melaksanakan PERKESO untuk nelayan.
"PERKESO nelayan, petani dan
penternak merupakan dasar baru di bawah pentadbiran PH dan akan diperluaskan ke
semua sektor pertanian untuk memberi perlindungan yang komprehensif kepada para
pengusaha," kata Sim dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu
lagi, dijangka 900,000 pengusaha sektor pertanian akan dilindungi PERKESO
secara berperingkat mulai tahun 2020 mengikut perancangan pentadbiran PH.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan
agar kerajaan PN lebih kreatif dan inovatif dalam merangka dasar meningkatkan
taraf hidup nelayan dan tidak perlu menggunakan hasil titik peluh pemimpin PH
untuk mengukir nama atau mendapatkan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN)
Sabah.
"Pengumuman PM semalam merupakan
titik peluh Salahuddin dan pasukan kami sepanjang 22 bulan dalam MoA.
"Beliau jangan hanya nak ambil
kredit dan nama semata-mata nak menangkan PRN
"Hakikatnya ialah Kerajaan PN
kurang mengilhamkan dasar-dasar baharu yang memberangsangkan. Rakyat masih tak
nampak sangat dasar baru dalam sektor pertanian di bawah PN.
"Jangan jadi, 'lembu punya susu,
sapi dapat nama'," sinis Sim.
Walau bagaimanapun Sim tetap gembira demi 42,000 nelayan yang
akhirnya mendapat nikmat dikembalikan ESH sebanyak RM300 sebulan.