GUNA POPULARITI MUHYIDDIN BUKTI DUA CALON PN TAK BERGUNA

 


Strategi menggunakan populariti Muhyiddin Yassin sebagai watak utama untuk menarik sokongan pengundi di Sabah sebenarnya membuktikan dua calon Ketua Menteri yang diwar-warkan BN dan PN adalah tidak berguna atau dalam erti kata lain “useless”.

Ia memperlihatkan kedua-dua calon Ketua Menteri, Bung Mokhtar Radin dan Hajiji Noor, langsung tidak mempunyai ciri-ciri yang boleh mempengaruhi pengundi untuk menyokong BN dan PN.

Lebih buruk lagi, kedua-dua mereka pula sedang berebut jawatan sesama mereka untuk menjadi Ketua Menteri.

Muhyiddin menyedari langkah meletakkan Hajiji adalah risiko yang terpaksa diambilnya kerana Adun Sulaman itu bukanlah tokoh yang cukup berwibawa, tetapi dipilih semata-mata kerana jasanya mengembangkan Bersatu ke Sabah.

Bung Mohktar kini dalam keadaan tertekan selepas pengumuman Muhyiddin menonjolkan Hajiji itu kerana dirinya juga mahu menjadi Ketua Menteri tapi tidak mendapat perkenan daripada Perdana Menteri.

Masakan Bung Mokhtar berani melawan Muhyiddin kerana dirinya juga terpaksa bergantung kepada ihsan Muhyiddin jika mahu menjadi Ketua Menteri.

Dalam masa yang sama, Bung Mokhtar tidak mempunyai aura yang dapat menarik sokongan pengundi terhadap BN.

Kesimpulannya, Muhyiddin sama sekali tidak mempunyai kepercayaan kepada calon pilihannya atau dalam erti kata lain “tidak berguna” tetapi sudah terlepas cakap, maka terpaksalah menelan apa jua kesan daripada keputusannya tersebut.

Semakin hampir dengan tarikh mengundi, semakin Muhyiddin nampak terdesak apabila terpaksa kerap turun ke Sabah untuk berkempen memandangkan jentera kedua-dua BN dan PN dilihat tidak bergerak serta terlalu lemah.

Berbeza dengan momentum jentera Warisan yang dipimpin Shafie Apdal yang lebih agresif dan tersusun dalam menyampaikan mesej kepada pengundi di Sabah.

Lebih menghairankan, poster calon Ketua Menteri Sabah daripada BN dan PN tidak diketengahkan sama sekali sebaliknya kini poster-poster Muhyiddin pula bertebaran di bandar Kota Kinabalu dan seluruh Sabah.

Situasi ini jelas menunjukkan Muhyiddin langsung tidak menghormati sentimen rakyat Sabah yang tidak mahukan campur tangan Kuala Lumpur atau Semenanjung dalam politik di negeri bawah bayu itu.

Mahu tidak mahu, pengundi perlu tahu kemelut politik di Sabah ini sebenarnya dicetuskan oleh Muhyiddin sendiri bersama dua orang kepercayaannya, Hamzah Zainuddin yang juga Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Politiknya, Nardin Awang.

Kedua-dua orang kepercayaannya itu jugalah yang mengatur langkah diambil bersama Musa Aman tetapi digagalkan selepas DUN dibubarkan oleh TYT Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Kini, Muhyiddin juga dikatakan sudah ada perjanjian dengan Musa untuk melantiknya sebagai TYT Sabah selepas gagal dalam cubaan untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sekali lagi.

Slogan Muhyiddin supaya pengundi memilih parti yang seiring dengan Kerajaan Persekutuan adalah penghinaan besar kepada orang Sabah yang sudah sekian lama bijak berdikari dalam membuat pilihan, bahkan sudah beberapa kali juga menukar kerajaan.

Sudahlah Muhyiddin menjadi pencetus utama kepada PRN Sabah, kini beliau pula mahu menentukan siapa jadi Ketua Menteri Sabah supaya dapat mengikut cakap daripada Semenanjung.

Jika itulah zikir dan kepercayaan Muhyiddin bahawa orang Sabah tidak mampu mentadbir negeri sendiri, maka orang Sabah patut menunjukkan jalan keluar kepada orang Semenanjung yang tidak menghormati mereka.

Orang Sabah perlu menunjukkan mereka bermaruah dan bukan sekadar jadi “puppet” kepada Muhyiddin dan orang Semenanjung lagi. (Shahbudindotcom 17/09/2020)


No comments: