PRN Sabah: Calon DUN Tamparuli 'underdog', tapi yakin boleh ambil hati pengundi

 

KEADILAN berdepan dengan pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

 Calon DUN Tamparuli, Alijus Sipil mendapat tentangan sengit dari tiga calon lain iaitu penyandang kerusi, Jahid Jahim yang bertanding sebagai calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Denis George Kian Fah @ Denis Gimpah selaku calon Parti Cinta Sabah (PCS) dan Dr Raymond Alfred @ Jenry sebagai calon Parti Liberal Demokratik (LDP).

 Malah, Alijus merupakan salah satu calon yang baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya berbanding Jahid yang sudah mempertahankan kerusi itu selama empat penggal.

Namun, di sebalik statusnya selaku calon underdog, Alijus yakin beliau mempunyai tarikan tersendiri untuk mendapatkan sokongan pengundi di Tamparuli.

 “Orang kata calon baru ini sekilas pandang adalah underdog, tapi dalam hati ini, saya yakin saya boleh ambil hati pengundi.

 “Penyandang kerusi sudah menjadi Yang Berhormat Tamparuli sebanyak empat kali dan sudah membuat pelbagai perkara tetapi saya rasa saya boleh buat lebih banyak dan lebih baik daripadanya.

 “Saya tidak mahu cakap negatif kepada calon lain, Cuma kalau dipilih, insya-Allah saya akan buat lebih baik,” katanya kepada Suara KEADILAN.

Kempen Alijus pada hari pertama di Tamparuli diperkasakan dengan kehadiran Nurul Izzah Anwar yang turut serta menyantuni rakyat dan berkempen di sekitar pekan, kedai-kedai dan pasaraya bagi memastikan penduduk kawasan itu mengundi KEADILAN pada hari mengundi nanti.

 “Rata-rata penduduk mengenali saya, mereka bersikap positif dan gembira apabila berjumpa saya.

 “Saya membesar di Tamparuli dan ibu saya merupakan penjaja di pasar dulu menjual beras. Jadi sebab itu apabila saya memperkenalkan diri sebagai anak kepada penjaja, mereka positif dan ini memberikan saya semangat untuk meneruskan kempen.

 “Banyak juga yang mahu mengundi dan saya mendapat sambutan yang baik. Ada dari golongan berumur ada juga belia.

 “Ini menunjukkan mereka perlukan pemimpin yang mereka kenal dan mereka beri sokongan dan mahukan pimpinan baru di Tamparuli,” katanya.

Dalam pada itu, Alijus mengingatkan kepada semua calon KEADILAN bahawa mereka perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi membantu Warisan Plus memenangi PRN Sabah.

 “Sebagai satu pasukan, kita mempunyai keyakinan untuk memenangi semua kawasan, PRN kali inilah kita boleh perbaiki keputusan yang diperoleh sebelum ini dan insya-Allah KEADILAN boleh ambil semua kawasan.

 “Kita bukan hanya ketengahkan calon lama dan berpengalaman tetapi juga calon baru seperti saya dan calon DUN Inanam, Peto Galim yang datang dari golongan profesional.

 “Jadi saya yakin calon yang diketengahkan boleh mendapat kemenangan di seluruh kawasan. Apa jua kemenangan akan membawa impak kepada gabungan Warisan Plus,” katanya.

Pada masa sama, Alijus berpandangan KEADILAN tetap perlu membuktikan keupayaan untuk memenangi kerusi DUN di PRN Sabah.

 “Apa yang penting, kalau mahu beri sumbanagn, kita kena menangkan parti dulu, kalau 7 kerusi menang semua besarlah sumbangan kepada Warisan Plus, tapi kalau kurang makin kuranglah sumbangan.

 “Apabila ramai calon KEADILAN menang, bolehlah kita dapat jawatan penting dalam cabinet dan boleh buat keputusan di peringkat negeri, bukan hanya mendengar tetapi kita juga boleh membantu rakyat secara langsung.

 “Dalam soal pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT), saya cukup arif selaku bekas presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), jadi portfolio kerajaan tempatan ini satu perkara yang saya boleh bantu rakyat Sabah,” katanya.

 

No comments: