Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
berbangga kononnya telah menyelamatkan Melayu dari DAP dan berjanji untuk
memajukan kaum itu lebih daripada mana-mana kerajaan yang pernah memerintah
Malaysia.
Bagi Koordinator Gabungan Reformis
Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub, PN tidak harus beretorik tetapi perlu
segera membuktikan pembelaan mereka ke atas Melayu dengan mewujudkan beberapa
skim atau program khas untuk membantu kaum tersebut.
"Setelah lebih 63 tahun merdeka,
kelihatannya kedudukan orang Melayu masih ketinggalan dalam pelbagai sektor,
walaupun adanya hak istimewa Melayu, tanah rizab Melayu, kuota Bumiputra serta
Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di mana silapnya? Siapa yang harus dipersalahkan?
Siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini?
"Justeru, GRM menyeru agar
Kerajaan Persekutuan di bawah PN yang melaungkan slogan membela Melayu mesti
segera mengemukakan pelan-pelan konkrit serta agenda-agenda sistematik dalam
perkara ini," kata Mustaffa dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, agenda Melayu
tidak sewajarnya dijadikan mainan politik atau propaganda menyokong sesuatu
pemerintahan. Sedangkan majoriti kaum itu kesempitan hidup sejak era BN.
Katanya, PN mesti membuktikan
perjuangan 'menaikkan martabat Melayu' bukan untuk agenda politik perkauman
seperti yang dilakukan BN sebelum ini
"Orang Melayu majoriti atau
lebih 60% serta merupakan penduduk asal negara ini. Kestabilan
sosio-ekonomi-politik kelompok ini akan menjamin kestabilan keseluruhan rakyat
Malaysia.
"GRM dalam hal ini berpandangan
proses (memartabatkan Melayu) ini mestilah tidak disalahgunakan oleh mana-mana
pihak atau diekploitasi menjadi isu perkauman sama ada dalam kalangan orang
Melayu atau bukan Melayu," katanya lagi.
Namun menurut Mustaffa, sekiranya
agenda membela Melayu mahu dipolitikkan atau menemui kegagalan sebagaimana DEB
yang diperkenalkan pada era 1970an lalu maka lebih baik dilaksanakan dasar yang
lebih menyeluruh.
Katanya, agenda ekonomi untuk semua
tetapi tidak meminggirkan Melayu sebagaimana yang dicadangkan oleh KEADILAN adalah
lebih sesuai diamalkan dalam era globalisasi bagi menjadikan Melayu kaum yang
ampuh bersaing di pentas dunia.
"GRM berpandangan membela
kelompok tertinggal sama ada orang Melayu, Kadazan, Dayak, Cina, India dan
seumpamanya mesti dibuat secara adil tanpa ketirisan, tiada penyelewengan,
rasuah, pembaziran atau pembolotan.
"Untuk itu GRM menyeru kepada
pembinaan Malaysia Baharu tanpa mencabut akar dan asas yang ada. Malaysia
Baharu juga sewajarnya terbina sebagaimana asas dalam pembinaan Masyarakat
Madani Madinah iaitu aqidah, ilmu, akhlak, adab, kerohanian dan dakwah.
"Membina Malaysia Baharu juga
serentak memakmurkan serantau serta model globalisasi manusiawi yang pernah
dilakukan dalam pengalaman pembinaan insan dalam tamadun Islam," katanya.
GRM merupakan gabungan 10 pertubuhan reformasi untuk
menggerakkan perubahan total ke atas masyarakat Malaysia.