KEADILAN mencabar Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin membuktikan gabungan Perikatan Nasional (PN) telah
didaftarkan sebelum proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada
12 September lalu.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN,
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hal itu sangat penting kerana tanpa
pendaftaran yang sah maka pencalonan calon-calon PN adalah terbatal dan tidak
layak bertanding sama sekali.
"Saya merujuk kepada kenyataan
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Saudara Syed Badli Shah Syed Osman
berhubung ketiadaan maklumat pendaftaran Perikatan Nasional di dalam rekod di
laman sesawang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
"Sehubungan itu, saya mencabar
Tan Sri Muhyiddin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran PN yang
dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kepada
umum.
"Seandainya PN masih belum
didaftarkan secara rasmi, saya mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
mengambil tindakan serta merta membatalkan pencalonan semua calon-calon yang
bertanding di bawah tiket PN," kata Shamsul dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya
itu lagi, sekiranya calon-calon PN dibenarkan bertanding tanpa pendaftaran yang
sah maka sistem demokrasi berparlimen Malaysia akan ditertawakan di seluruh
dunia.
Rakyat Sabah juga, katanya, tidak
lagi akan memandang tinggi wakil-wakil rakyat di dalam Kerajaan Negeri dan
kerajaan Malaysia.
"Pilihan raya adalah platform
penting buat rakyat menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak
memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil,
seterusnya membentuk Kerajaan Negeri.
"Sekiranya calon-calon yang
mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan bertanding, ini merupakan satu
penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat
rakyat, khususnya warga Sabah," katanya lagi.
Sebelum ini, Syed Badli telah
melakukan semakan di pangkalan data ROS dan tidak menemui nama PN dalam senarai
pertubuhan politik yang telah didaftarakan.