PN belum didaftarkan, bagaimana nasib calon PRN Sabah?



KEADILAN menyasarkan satu kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Christina Liew berkata sasaran itu adalah realistik berdasarkan keupayaan parti di kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.


"Dengan 7 kerusi DUN, kita boleh menang besar.

"Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita bertanding 8 kerusi dan menang 2 sahaja tetapi kali ini kita bertanding 7 kerusi, jadi kalau boleh kita menang semua kerusi yang dipertandingkan," katanya.

Christina juga mengakui KEADILAN mahu bertanding lebih banyak kerusi, tetapi menganggap kemenangan secara bersama dengan gabungan Warisan Plus harus diutamakan.

"Kami sudah ada satu rancangan dan sudah berapa banyak rundingan dengan parti komponen. Kita juga ada berbincang dengan presiden, setiausaha agung dan pemimpin tertinggi KEADILAN.

"Sepatutnya apabila KEADILAN Sabah mempunyai anggota kedua tertinggi di Malaysia, sudah tentu boleh dapat kerusi lebih daripada tujuh tetapi PRN Sabah adalah pilihan raya yang luar biasa.

"Ada 25 parti yang bertanding jadi peluang untuk menang itu perlu diambil kira dan perancangan perlu dibuat secara berhati-hati. Jadi kerusi yang dipertandingkan perlu dimenangi, winnability itu sangat penting.

"Sebab itu bagi mereka yang mahu bertanding 73 kerusi, semua itu buang masa.

"Kita mesti berkongsi dan bekerjasama sama seperti DAP, Upko, Warisan dan Amanah," katanya.

Dalam pada itu, Christina yang juga calon DUN Api-Api mengakui ia satu cabaran baharu apabila pertama kali berdepan dengan lapan orang pencabar.

"Ini satu cabaran besar, saya sudah lama bertanding di DUN Api-Api tapi ini pertama kali saya berdepan lapan calon, tapi bagaimanapun saya yakin dengan kerjasama jentera dan penyokong saya yakin boleh menang," katanya.