‘Kerajaan PN bukan model yang baik untuk Sabah’ – Guan Eng

 

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Pilihan raya negeri Sabah telah membuktikan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN), atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menentang Warisan Plus yang diketuai oleh Ketua Menteri Sementara Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, adalah sebuah kerajaan yang tidak stabil, lemah, keliru, bercanggah sesama sendiri dan melanggar undang-undang.

GRS gagal untuk bersatu di bawah seorang calon Ketua Menteri. GRS juga gagal bersetuju untuk tidak bertanding antara satu sama lain dalam17 kerusi DUN. Sebaliknya Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, DAP, UPKO, PKR dan Amanah tidak melawan satu sama lain di mana-mana kerusi dan bersetuju untuk mengekalkan Shafie sebagai calon Ketua Menteri.

Sama seperti dua Timbalan Menteri yang tidak menunjukkan sebarang rasa hormat kepada Veveonah Mosibin, Muhyiddin tidak menunjukkan rasa hormat kepada pengundi Sabah, kerana dia atau Putrajaya cuba memutuskan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sabah berikutnya. Wajarkah Sabah tunduk kepada GRS atau Muhyiddin? 

Ketika Tan Sri Muhyiddin mempunyai hanya majoriti 2 kerusi di Parlimen, rakyat tidak menyangka Menteri-menteri PN akan bercanggah sesama sendiri, tidak mengikut dan mematuhi undang-undang, membangkitkan sentimen perkauman dan agama atau menyebarkan berita palsu. Beberapa contoh utama:

  • Sokongan PAS kepada Ahli Parlimennya, yang enggan meminta maaf kerana menghina penganut Kristian dengan ucapannya yang penuh dengan hasutan bahawa kitab Bible terpesong;
  • Dua Timbalan Menteri menyebarkan berita palsu dan bukannya mengamalkan slogan kerajaan PN sendiri, yakni “Tidak Pasti, Jangan Kongsi”, dan telah melakukan buli siber terhadap seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah berusia 18 tahun, hanya kerana dia mendedahkan bahawa dia terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang lebih baik di Pitas, Sabah;
  • Ketua Pemuda Bersatu dan Timbalan Menteri mendesak sekolah vernakular dihapuskan sungguhpun sudah wujud sejak sebelum Merdeka;
  • Kompaun “manja” RM1,000 terhadap seorang Menteri PAS kerana melanggar protokol keselamatan Covid-19 untuk kuarantin rumah 14 hari sekembalinya dari Turki, sedangkan seorang wanita Melayu berusia 72 tahun telah didakwa di mahkamah dan dihukum dengan denda RM8,000 serta dipenjarakan selama sehari.
  • Membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan peraturan “antara dua darjat”(double-standard) dengan gagal bertindak terhadap Timbalan Menteri Pertahanan kerana mencadangkan anaknya dilantik ke Lembaga Pengarah Pharmaniaga, yang berada di bawah naungan Kementerian Pertahanan.
  • Menteri Kewangan berbohong bahawa kontrak rundingan terus sebanyak RM6.61 bilion telah dianugerahkan oleh PH, sedangkan hanya RM352 juta berasal daripada kerajaan PH, manakala baki RM6.3 bilion merupakan projek zaman kerajaan BN sebelumnya.
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT) berbohong bahawa saya sendiri telah merundingkan sebuah projek kilang sisa pepejal bernilai RM170 juta dengan pengurangan 10%, sedangkan surat-surat membuktikan bahawa permohonan rundingan terus dibuat oleh KPKT sendiri.

Sabtu semalam, rakyat Malaysia telah melihat Menteri Pertahanan Ismail Sabri secara terbuka menyangkal kenyataan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengenai kemungkinan mengenakan kuarantin wajib kepada mereka dari Semenanjung yang telah pergi ke Sabah untuk pilihan raya negeri, sebaik sahaja mereka pulang ke Semenanjung. Kerajaan Persekutuan PN yang tidak stabil, lemah, keliru, bercanggah sesama sendiri dan melanggar undang-undang bukanlah model yang baik untuk Sabah.