PN belum didaftarkan, bagaimana nasib calon PRN Sabah?



Perikatan Nasional (PN) digembar-gemburkan telah didaftar ke Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai sebuah gabungan parti politik.

Oleh yang demikian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PN bertanding menggunakan logo dan mempunyai calon-calon sendiri.

Bagaimanapun, semakan yang dilakukan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman mendapati tidak wujud nama PN dalam pangkalan data Pendaftar Pertubuhan sebagai parti politik.

"Saya telah membuat semakan melalui laman sesawang Pendaftar Pertubuhan berkaitan status pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN) dan saya mendapati tiada rekod ditemui.

"Setakat jam 2.22am, 14 September 2020, tiada rekod berkaitan berjaya dipaparkan.

"Semakan seterusnya ke atas nama "Perikatan Nasional" atau "Prikatan Nasional" turut tidak menemui sebarang rekod daftar.

"Melalui makluman media, kononnya permohonan untuk pendaftaran Parti Perikatan Nasional telah dihantar sebelum atau pada 20 Ogos 2020.

"Justeru itu saya menggesa Pendaftar Pertubuhan untuk memberikan pencerahan apakah status pendaftaran Parti Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan.

Syed Badli mengingatkan, sekiranya PN belum sah pendaftarannya maka calon-calon yang menggunakan logo pertubuhan tersebut dalam pencalonan PRN Sabah baru-baru ini adalah tidak sah dan terbatal sama sekali.

"Jika benar Parti Perikatan Nasional masih gagal didaftarkan bererti semua calon-calon yang masuk bertanding pada PRN Sabah di atas bendera Perikatan Nasional haruslah dibatalkan.

"Sehubungan itu saya menggesa pendaftar pertubuhan untuk mendedahkan status pendaftaran Parti Perikatan Nasional," katanya lagi.

Syed Badli turut memberi pautan laman web rasmi ROS yang dilayarinya sebagai rujukan: https://www.ros.gov.my/index.php?id=2&page_id=19



No comments: