Di manakah tapak pelupusan sisa Lynas, soal Wong Tack



Pada Februari lesen Lynas diperbaharui untuk tempoh 3 tahun sehingga Mac 2023 dengan syarat tertentu.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen DAP berkata, Putrajaya perlu menetapkan tapak sesuai untuk kemudahan pelupusan sisa kekal (PDF) Lynas Malaysia dibina sebelum membenarkan kilang nadir bumi itu meneruskan operasi.
Pengkritik lantang Lynas, Wong Tack mendakwa orang ramai “tidak mengetahui apa-apa” berhubung tapak sebenar PDF yang bertujuan mengurus sisa itu.
Malah katanya, orang ramai juga tidak tahu sama ada kajian kesesuaian telah dijalankan di tapak yang dipilih.
“Sehingga hari ini, orang ramai tidak tahu lokasi sebenar PDF. Apakah yang akan berlaku sekiranya tapak yang dipilih tidak sesuai atau tidak diterima orang ramai,” kata ahli parlimen Bentong itu dalam satu kenyataan lewat hari ini.
Beliau memberi respons terhadap kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bahawa lesen operasi Lynas akan ditarik balik sekiranya ia tidak membangunkan kemudahan PDF menjelang Mac 2021.
Bagaimanapun Wong Tack berkata, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam laporannya mengenai Lynas pada 2011 menyebut bahawa lokasi PDF perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Selain itu, Lynas dikehendaki berunding dengan pemegang taruh mengenai perkara itu.
“Sehingga semua isu ini ditangani, kerajaan tidak harus membenarkan Lynas menjana lebih banyak sisa radioaktif di negara kita.”
Wong Tack juga berkata, perkataan “bermula” tidak membawa apa-apa makna, selain menambah bahawa “syarat yang lunak, tidak jelas dan terbuka” dibuat hanya untuk menerima Lynas dan membolehkannya meneruskan operasi di Malaysia.
Katanya, ia tidak bertujuan untuk melindungi kepentingan dan keselamatan rakyat.
“Lebih penting bukanlah bila pembinaan PDF itu “bermula”, tetapi bilakah pembinaannya akan selesai dan semua sisa radioktif dipindahkan ke kemudahan tersebut dan dilupuskan dengan selamat.”
Pada Februari, lesen Lynas diperbaharui untuk tempoh 3 tahun sehingga Mac 2023.
Ia bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pembinaan kemudahan PDF dalam tempoh setahun dari tarikh pembaharuan lesen.
Lynas juga perlu mengemukakan pelan kemajuan kerja-kerja pembinaan PDF dan melaporkan perkembangannya.


No comments: