28 JULAI- NAJIB BERSALAH ATAU DIBEBASKAN ?


Seperti mana kita semua sedia maklum, keputusan sama ada Najib Razak disabitkan bersalah atau dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, akan diketahui pada 28 Julai ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut pada 5 Jun lalu selepas kedua-dua pihak menutup hujahan masing-masing di akhir kes pembelaan.
Ini bermakna, daripada sekarang ada 10 hari lagi sebelum ketibaan tarikh 28 Julai itu.
Menjadi penantian ialah apakah nasib yang bakal diterima Najib – didapati bersalah atau dibebaskan?
Memandangkan hukuman yang bakal diterima Najib akan menjadi penentu kepada pelbagai perkara dalam politik negara, khususnya berkaitan sokongan UMNO selepas itu terhadap Muhyiddin Yassin, kedudukan PN dan berbagai lagi, selain kepada masa depan bekas Perdana Menteri itu sendiri, tarikh 28 Julai ini adalah penting untuk diberikan perhatian.
Selain itu, ini juga adalah kes pertama seorang bekas Perdana Menteri dihadapkan ke mahkamah.
Untuk itu, tidak menghairankan para penyokong Najib ketika ini sudah mula menggerakkan hebahan mengenai Solat Hajat Perdana untuk memohon pertolongan Tuhan agar keputusan mahkamah pada hari tersebut memihak kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
Di media sosial sudah bertebaran poster-poster yang menyeru agar solat hajat diadakan di seluruh negara pada malam 27 Julai itu nanti.
Tentunya tidak terkecuali Najib sendiri dipercayai akan mengadakan majlis solat hajat di kediamannya pada malam tersebut atau mungkin beliau akan turun ke masjid tertentu untuk bersama para penyokongnya.
Pokoknya, tarikh 28 Julai ini bukan tarikh biasa-biasa yang boleh kita tidak mengendahkannya.
Sama ada Najib didapati bersalah atau dibebaskan, gelora politik negara dijangka akan tambah menggelegak selepas tarikh tersebut. (Shahbudindotcom 18/07/2020)


No comments: