PRU 15: Bersatu mati kering di Pantai Timur, MN enggan bantu?
Kemelut pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) yang tidak kunjung selesai tidak mustahil menjadi barah kepada gabungan itu di Pantai Timur.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, tidak mustahil sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 berlaku pada tahun ini, Umno dan Pas enggan membantu Bersatu di Kelantan dan Terengganu.
Kata Azan, kedua-dua negeri itu merupakan kubu kuat Muafakat Nasional (MN) dan Bersatu tidak mempunyai keahlian yang banyak.
Menurut beliau, tradisi akar umbi kedua-dua parti, tidak akan membantu parti lemah yang tidak mempunyai jentera bertanding di kawasan mereka.
“Tidak sama sekali kedua-dua parti itu akan membantu dan ia menjadi nasib paling malang untuk Bersatu. Kelantan dan Terengganu akan menjadi ukuran atau gambaran sebenar situasi Bersatu yang tidak mempunyai tempat kerana mempunyai ahli paling sedikit dalam gabungan.
“Ini ditambah lagi dengan Pas dan Umno sendiri pun masih berebut kerusi. Pas dan Umno dalam keadaan pening, tak kan mereka nak fikir beri laluan kepada Bersatu pula,” katanya dipetik
Oleh itu, Azan tidak menolak spekulasi pemimpin-pemimpin Bersatu di Semenanjung sedang cuba mencari jalan untuk bergabung semula dalam Pakatan Harapan (PH).
Kata Azan, PH mempunyai jentera yang baik di Pantai Bara dan memilikki jentera yang boleh diharapkan di Pantai Timur.
Namun menurutnya pemimpin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mudah untuk menerima pengkhianat yang menjatuhkan kerajaan pada Februari lalu menyertai semula PH.
“Anwar mempunyai latar belakang yang kukuh terhadap tipu daya Umno dan parti yang berbentuk kerajaan pintu belakang serta sangat memahami (budaya mereka).
“Saya rasa beliau lebih bijak untuk membaca gerakan ini dan saya rasa motif utama Anwar adalah untuk memulihkan kedudukan ekonomi dan memastikan keamanan dalam negara, itu lebih baik berbanding perebutan kuasa, ” katanya lagi.
Perebutan kerusi di Pantai Timur menjadi bahan analisis politik yang menarik sejak kebelakangan ini. Bersatu dalam gabungan PN memiliki keahlian minimum di Kelantan dan Terengganu. Namun mereka berhasrat untuk bertanding kerana beberapa pemimpin Umno yang melompat ke dalam parti itu merupakan Menteri dan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan.
Sekiranya MN enggan bertolak ansur maka PN akan ‘goyang’ menjelang PRU 15. Atau sekiranya hanya peringkat pimpinan menyetujui dan tidak dirundingi di peringkat akar umbi, maka calon Bersatu terdedah kepada sabotaj jentera Umno mahu pun Pas. Sekali gus mengurangkan jumlah kerusi Parlimen PN.