MINTA MENTERI KEWANGAN JELASKAN PERLANTIKAN MP SEBAGAI PENGERUSI GLC



Anwar Ibrahim



Saya meminta Menteri Kewangan
menyatakan dasar pengambilan Ahli-ahli Parlimen dilantik menjadi pengerusi berbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kewajaran pelantikan mereka menggantikan profesional yang ahli dalam bidangnya.

Berikut jawapan yang diberikan Menteri Kewangan:

Secara amnya, pencalonan dan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) termasuk Pengerusi bagi syarikat-syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dibuat berdasarkan kesesuaian dari segi kelayakan, pengalaman dan kepakaran seseorang individu. Bagi syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), garis panduan mengenai pelantikan Pengerusi dan ALP Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di dalam Buku Hijau berkaitan Meningkatkan Keberkesanan Lembaga Pengarah (2006) telah menggariskan beberapa kriteria untuk melantik individu yang benar-benar berwibawa dan berkebolehan untuk menerajui Lembaga Pengarah syarikat.

Selain itu, pelantikan ALP juga dilihat dari sudut kepelbagaian latar belakang dan kepakaran yang bersesuaian (fit and proper requirements) bagi memastikan komposisi Lembaga Pengarah yang mantap di samping menggalakkan pelaksanaan polisi keterangkuman (inclusiveness) dan kepelbagaian (diversity) di bawah Malaysian Code of Corporate Governance (MCCG) 2017.

Bagi syarikat MKD yang tersenarai di Bursa Malaysia, pencalonan seseorang individu sebagai Pengerusi atau ALP syarikat akan melalui pertimbangan Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan (Nomination and Remuneration Committee - NRC) serta Lembaga Pengarah syarikat masing-masing. Setelah ianya diluluskan oleh NRC dan Lembaga Pengarah barulah calon tersebut dikemukakan untuk tapisan Suruhanjaya Sekuriti dan seterusnya dikemukakan kepada Bursa Malaysia untuk pengumuman.

Manakala bagi syarikat MKD yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia, pencalonan seseorang individu sebagai Pengerusi atau ALP syarikat akan melalui pertimbangan NRC serta Lembaga Pengarah syarikat masing- masing.

Di samping itu juga, selaras dengan Akta Syarikat 2016, secara umumnya setiap calon ALP bagi semua syarikat MKD perlu melalui beberapa tapisan iaitu tapisan keutuhan yang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semakan kebankrapan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) dan semakan tindakan undang-undang oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) sebagai prosedur (requirement) sebelum dilantik. Tapisan tersebut merupakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan semenjak Akta Syarikat 1965 dipinda, digubal dan diluluskan oleh Parlimen sebagai Akta Syarikat 2016, sebagai sebahagian daripada usaha memperkemaskan tadbir urus pelantikan Pengerusi dan ALP syarikat.

Kewajaran pelantikan Ahli Politik menggantikan Ahli Korporat dalam Lembaga Pengarah syarikat bukanlah kes terpencil kerana ia telahpun menjadi amalan sejak Kerajaan terdahulu. Pelantikan Ahli Politik adalah sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif yang mana terdapat pembatasan kuasa di antara Lembaga Pengarah dan Pengurusan selaras dengan MCCG 2017 dan sebagai mekanisma semak dan imbang (check and balance).

Kesimpulannya, pelantikan ALP syarikat MKD bukan sekadar mengisi jawatan Lembaga Pengarah syarikat sebaliknya disuaipadankan berdasarkan keperluan setiap syarikat MKD dengan mengambil kira latar belakang dan kebolehan seseorang individu daripada pelbagai sudut bagi menganggotai Lembaga Pengarah syarikat MKD. Justeru itu, Ahli Parlimen yang berkelayakan atau memenuhi kriteria fit and proper sahaja yang dilantik untuk menerajui Lembaga Pengarah syarikat-syarikat MKD.

Sekian, terima kasih.



No comments: