Rakyat susah, harga barang keperluan meningkat tinggi
Pasca pandemik Covid 19 rakyat Malaysia semakin sukar menjalani kehidupan.
Menurut Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, kesukaran itu membuat wakil rakyat terpaksa membantu menghulurkan barangan keperluan harian seperti beras, telur, minyak masak, mi segera, mihun, biskut dan makanan dalam tin kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu.
“Ramai rakyat hidup dalam kesusahan sekarang disebabkan oleh kehilangan kerja. Juga ada ramai yang telah mengalami kerugian dalam perniagaan mereka. Justeru, kita dalam PH sibuk menghulurkan bantuan pada masa ini.
“Inilah yang amat penting pada ketika ini. Jawatan YB adalah ‘Yang Berkhidmat’. Rakyat sudah bosan dengan politik sebab fokus utama rakyat adalah bagaimana hendak mengurus-tadbir isu kehidupan harian sebab kos sara hidup sudah meningkat berkali-ganda,” kata Chang kepada Suara Pakatan Daily.
Dalam pada itu, kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional mengawal harga barang makanan menyukarkan lagi keadaan. Bukan sahaja barang makanan segar, barangan dapur seperti halia, bawang putih dan sebagainya termasuk makanan dalam tin mengalami kenaikan mendadak.
Menurut Prakash, pemilik kedai barang elektrik di Kepong, Kuala Lumpur, sekiranya kerajaan gagal menurunkan harga maka keadaan akan menjadi lebih buruk dalam bulan-bulan berikutnya apabila semakin banyak rakyat kehilangan pekerjaan.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu berusaha lebih gigih lagi untuk mengawal atau menurunkan harga barang. Walaupun sekarang ramai orang masak di rumah tetapi kita juga terpaksa berbelanja lebih jika dibandingkan dengan masa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada bulan Mac lalu.
“Dengan ramai orang yang sedang menganggur ataupun telah dikenakan pemotongan gaji, beban rakyat telah berlipat-ganda. Oleh itu, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah dalam isu penetapan dan pengawalan harga,” katanya.
Selain dari itu, beliau berharap situasi politik di negara akan lebih stabil bagi meningkatkan pelaburan asing masuk dan meningkatkan ekonomi domestik.
“Walaupun ancaman wabak Covid-19 boleh dikatakan telah reda di negara kita, situasi politik adalah hangat dan ini lambat-laun akan merugikan negara apabila pelabur asing akan lebih gemar melabur di negara-negara lain di rantau ini,” katanya lagi.