KEADILAN akan bincang soal Shafie Apdal calon PM - Saifuddin Nasution




Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan partinya akan mengadakan perbincangan bersama Pakatan Harapan (PH) mengenai calon Perdana Menteri (PM) tidak lama lagi.

Hal ini selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal kini dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri PH Plus.

Malah, beliau mendakwa pencalonan itu dipersetujui oleh DAP, Amanah dan Warisan dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 25 Jun lalu.

"Saya juga diberi maklum Amanah dan DAP akan bawa kepada perbincangan PH.

"Sehingga perkara ini dibawa kepada PH, KEADILAN akan memberikan pandangan dalam mesyuarat PH," kata Saifuddin dipetik.

Pada masa sama, Saifuddin menganggap perkembangan terbaru tersebut bermakna Mahathir sudah tidak berminat untuk menjadi PM.

“Rujuk kenyataan Tun, ketika Tun sebut “keputusan sebulat suara" mencadangkan Shafie.

"DAP dan Amanah pula menyebut bahawa mereka akan bawa ke mesyuarat parti masing-masing untuk dibincang dan dibuat keputusan.

“Kenyataan Tun ini juga bermaksud Tun sudah terkeluar dari "persaingan" untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Dalam pengumuman terbaharu, Mahathir turut menyertakan KEADILAN dalam kerajaan bayangan PH dengan mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta anaknya Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.



No comments: