LAWAK DOL...KETUA MENTERI PINTU BELAKANG ,KINI DICALONKAN UNTUK MENENTANG KERAJAAN PINTU BELAKANG



Parti yang pada awalnya diumumkan menang untuk membentuk kerajaan negeri di Sabah dalam PRU14 lalu ialah BN, malah Musa Aman telah pun mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Berikutan tindakan beberapa Adun BN melompat parti, Warisan kemudian memperolehi majoriti dan Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.
Realitinya, sebelum PN berjaya menjadi kerajaan yang dianggap sebagai pintu belakang dengan mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kerajaan pintu belakang telah pun terbentuk lebih dulu di Sabah.
Sekarang ini, berikutan Tun Mahathir Mohamad gagal disokong secara penuh oleh PH yang menjadi blok pembangkang sebagai calon Perdana Menteri dan beliau pula tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, bekas Pengerusi Bersatu terpecat itu telah memilih Shafie sebagai calon Perdana Menteri pilihannya.
Kata Tun Mahathir lagi, menyokong Shafie bermakna menyokong dirinya.
Maknanya, Shafie yang menang melalui pintu belakang di Sabah, sekarang ini dicadangkan sebagai Perdana Menteri oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan PN, kerajaan pintu belakang dan Muhyiddin, Perdana Menteri pintu belakang.
Ini bukan lagi pelik, malah teramat kelakar sekali!!
Bolehkah pemimpin pintu belakang diletakkan harapan untuk menumbangkan kerajaan pintu belakang dan menyelamatkan masa depan Malaysia?
Lebih daripada itu, nama Shafie sebagai calon Perdana Menteri bukan dicadangkan oleh PH yang merupakan blok pembangkang sebenar ketika ini, tetapi oleh Tun Mahathir yang tidak lagi mempunyai parti serta tiada apa-apa jawatan dalam PH.
Oleh kerana Tun Mahathir sudah terpecat daripada Bersatu dan Bersatu pula berada bersama PN membentuk kerajaan, Pengerusi PH yang sebenar adalah Anwar Ibrahim.
Dalam gabungan baru yang melibatkan PH bersama kumpulan Tun Mahathir dan Warisan, ia dinamakan PH Plus.
Oleh kerana PH Plus tidak berdaftar, sama seperti PN, tidak diketahui siapa yang menjadi ketua atau pengerusinya.
Tetapi, berdasarkan tempat duduk dalam mesyuarat PH Plus pada 9 Jun di Pejabat PKR di mana Anwar duduk di tengah dan Tun Mahathir berada di tepinya, ternampak seperti Anwar jugalah Pengerusi PH Plus.
Lagi pun, oleh kerana PH mempunyai jumlah kerusi leboh banyak berbanding kumpulan Tun Mahathir dan Warisan, logiknya tentulah Pengerusi PH lebih sesuai dinamakan Pengerusi PH Plus.
Memandangkan PKR menolak nama Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, mesyuarat PH Plus tidak pernah lagi diadakan selepas itu.
Yang ada selepas itu hanyalah Tun Mahathir memanggil DAP, Amanah dan Warisan bermesyuarat dengannya, sambil mengecualikan PKR dengan meletakkan dirinya seolah-olah ketua atau pengerusi gabungan tersebut.
Mahu dipanggil gabungan itu sebagai PH Minus juga tidak sesuai kerana Anwar selaku Pengerusi PH atau PH sendiri tidak pernah memberi izin kepada pembentukan gabungan baru itu.
Amanah dan DAP pula mengatakan perjumpaan dengan Tun Mahathir dan Warisan bukanlah rasmi, maknanya lebih kurang macam jumpa-jumpa di kedai kopi saja.
Sebab itu, kata Mohamad Sabu dan Guan Eng, menamakan Shafie sebagai calon Perdana Menteri hanyalah cadangan Tun Mahathir dan mereka akan membawanya ke mesyuarat parti masing-masing untuk membuat pendirian.
Dalam erti kata lain, gabungan yang mengandungi kumpulan Tun Mahathir, Amanah, DAP dan Warisan adalah gabungan pintu belakang kerana tidak jelas statusnya.
Blok pembangkang yang sah hanyalah PH yang didalamnya ada PKR, DAP serta Amanah dan Anwar selaku Pengerusi PH adalah juga merupakan Ketua Pembangkang.
Kalau memilih Shafie yang merupakan pemimpin kerajaan pintu belakang di Sabah sebagai calon Perdana Menteri dianggap pelik dan kelakar untuk tujuan menumbangkan PN, sebuah kerajaan pintu belakang dan Muhyiddin, Perdana Menteri pintu belakang, lebih pelik dan kelakar lagi ialah pemilihan bellau itu dilakukan oleh Tun Mahathir, pemimpin pintu belakang blok pembangkang.
Kahkahkahkahkahkahkahkah…sesuai sangat kalau Tun Mahathir masuk saja pertandingan Maharaja Lawak pada tahun depan!!! 

(Shahbudindotcom 28/06/2020)