Kukuhkan kerjasama antara PH, bersiap sedia hadapi PRU mengejut






Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN memutuskan untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) di tengah-tengah adu domba pelbagai pihak bertujuan memecahkan kesatuan yang dibina sejak dua dekad lalu.

Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kerjasama erat amat penting ketika ini agar perancangan melaga-lagakan parti-parti dalam PH menggunakan isu calon Perdana Menteri ke - 9 gagal.

"MPP berpendirian bahawa kerjasama antara parti-parti PH mesti diperkukuh. Pada masa sama, kami mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana melaga-lagakan parti di dalam Pakatan Harapan, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap KEADILAN sebelum ini," kata Saifuddin dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurut Saifuddin lagi, KEADILAN juga membincangkan cadangan mencalonkan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon PM.

Katanya, walaupun KEADILAN telah menyatakan pendirian dalam berkenaan sebelum ini, parti itu tetap sedia membincangkannya di peringkat PH.

"KEADILAN sedia berbincang. Namun keputusan di peringkat PH perlu dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan. Sebarang cadangan baharu tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh.

"KEADILAN juga kekal dengan pendirian bahawa mandat rakyat mesti dipulangkan ke tempatnya pada kadar segera dan dalam bentuk yang telah diberi oleh rakyat kepada PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, termasuk dalam isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," sambungnya.

Berhubung kemungkinan PRU mengejut berlaku sekiranya kemelut politik negara tidak menemui jalan penyelesaian, KEADILAN memutuskan untuk mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

"KEADILAN dan PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya PRU 15 lebih awal dari 2023," katanya lagi.

Mesyuarat MPP petang tadi yang berlangsung selama 3 jam di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya dihadiri oleh hampir kesemua ahli MPP.

Perwakilan Sabah dan Sarawak turut hadir. Begitu juga Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) termasuk Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan yang merupakan pengerusi MPN di negeri masing-masing.

No comments: