Pas Johor tak yakin menang jika bubar DUN?
Ketika Umno berdegar-degar mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan agar mereka boleh sapu bersih dan kembali menguasai kerajaan negeri tanpa Bersatu, rakan Muafakat Nasional iaitu Pas seolah-olah takut kalah.
Pas Johor seolah-olah tidak yakin menang apabila Pesuruhjayanya, Abdullah Husin mengharapkan tidak akan berlaku pembubaran DUN Johor.
Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Azam Mektar berkata, kenyataan dikeluarkan Pas Johor itu dipercayai kerana takut satu-satunya kerusi yang dimenangi hilang.
Menurutnya, kerusi DUN Bukit Pasir pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas dimenangi Pas secara tidak sengaja selepas calon Pakatan Harapan (Bersatu), Pizi Jihat didapati bankrap dan tidak layak bertanding selepas menghantar borang pencalonan.
“Kenyataan beliau ini menunjukkan Pas Johor hilang keyakinan untuk memperoleh mandat rakyat dan menjadi kerajaan melalui jalan pilihan raya.
“Kenyataan beliau juga tidak selari dengan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed sebelum ini mengingatkan Bersatu supaya mencerminkan diri sendiri sambil menyarankan Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar) bubar DUN selepas Bersatu Johor dilihat ‘banyak cakap’,” katanya dipetik Sinar.
Azam turut berpendapat, Pesuruhjaya Pas itu gagal menjadi perantara bagi menenangkan konflik antara kedua-dua parti tersebut.