Anwar Ibrahim sekali lagi memperlihatkan sifat pemaaf dan jiwa besarnya terhadap Tun Mahathir Mohamad.
Walaupun pernah dikhianati dan juga dikecam oleh Tun Mahathir kononnya beliau tidak diterima oleh orang Melayu kerana dikatakan seorang yang yang berfikiran liberal, Anwar tetap menunjukkan jiwa besarnya untuk bersama semula dengan bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu.
Kata beliau, PH yang diterajuinya kini sedia menerima kembali Bersatu ke dalam gabungan itu.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Mukhriz Mahathir yang menegaskan Bersatu sekarang ini tidak ada pilihan lain selain perlu kembali semula ke pangkuan PH.
Sebelum ini, dalam sebuah nukilannya, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad juga ada menyebut tentang hasrat Tun Mahathir mahu membawa semula Bersatu menyertai PH.
Namun demikian, Anwar mengingatkan Bersatu perlu patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH.
“Itu keputusan yang harus dibuat oleh Bersatu dan PH mengambil sikap terbuka untuk menerima mereka semula.
“Tapi harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori PH, termasuk menolak sistem korup dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan yang lalu,” katanya lagi.
Jika Anwar akhirnya berbaik semula dengan Tun Mahathir untuk tujuan mendepani kemelut politik negara, ini bermakna sudah dua kali beliau berbuat demikian.
Selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, pada 2016 lalu, buat pertama kali Anwar menerima huluran tangan persahabatan semula daripada Tun Mahathir apabila bekas Perdana Menteri itu membuat kunjungan mengejut kepadanya di mahkamah.
Sejak itu, Tun Mahathir semakin diterima ke dalam PH sehinggalah akhirnya perjuangan bersama mereka berjaya menumbangkan Najib Razak, UMNO dan BN dalam PRU14 pada 2018 lalu.
Tetapi kini setelah Bersatu terpecah dua dan agenda di hadapan Tun Mahathir adalah untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin – yang paling dekat melalui usul undi tidak percaya dan seterusnya dalam PRU15 akan datang – beliau nampaknya sekali lagi tidak ada pilihan selain perlu bekerjasama semula dengan Anwar dan PH.
Meskipun Anwar menyatakan PH bersikap terbuka untuk menerima semula Bersatu, namun ini juga sebenarnya merupakan suatu cabaran yang bukan kecil buat Tun Mahathir.
Yang utamanya, Tun Mahathir yang kini Pengerusi Bersatu tidak mungkin dapat membawa parti itu menyertai PH selagi Bersatu terpecah kepada dua, satu kumpulan bersamanya dan satu kumpulan lagi bersama Muhyiddin yang kini berada dalam kerajaan PN.
Satu-satunya cara untuk Bersatu dapat dibawa menyertai PH semula ialah dengan Tun Mahathir mesti memastikan Mukhriz berjaya menewaskan Muhyiddin dan kumpulannya secara majoriti menguasai parti itu dalam pemilihan parti yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Sebaliknya, jika Muhyiddin terus menang sebagai Presiden, sementara Tun Mahathir telah menang tanpa bertanding sebagai Pengerusi, Bersatu akan terus menjadi parti dua nakhoda dan tidak mungkin beliau dapat membawanya mudik semula ke pangkuan PH.
Malah, kedudukan Bersatu seperti yang ada sekarang – kem Muhyiddin dalam kerajaan dan kem Tun Mahathir bersama pembangkang – berterusan untuk tempoh yang lebih lama lagi.
Ini bermakna, keputusan sama ada Bersatu dapat kembali ke pangkuan PH atau tidak hanya dapat ditentukan selepas pemilihan parti itu selesai.
Sekaligus, jika ada sebarang agenda untuk menyingkirkan Muhyiddin seperti melalui usul undi tidak percaya di Parlimen misalnya, sebelum kedudukan sebenar Bersatu dapat dimuktamadkan, meletakkan semula Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tentu saja nampak tidak kena kerana Bersatu belum lagi merupakan anggota rasmi PH.
Bersatu kini masih berada di luar PH dan hanya bekerjasama secara tidak rasmi.
Mahu tidak mahu, Tun Mahathir bersama empat lagi Ahli Parlimen Bersatu yang setia dengannya perlu memberi sokongan kepada Anwar yang mewakili PH yang dibelakangnya ada 92 Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri.
Lagi pula, takkanlah untuk kali ketiga Tun Mahathir yang bakal mencecah usia 95 tahun, mahu dinaikkan lagi sebagai Perdana Menteri.
(ShahbudinHusin 06/05/2020)