Pas ketika berada dalam kerajaan pada masa ini dilihat langsung tidak memperjuangkan pengharaman penjualan arak tidak seperti semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Naib Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi dalam rakaman video lengkap muzik latar dramatik sebaliknya memberitahu kilang arak sebenarnya sudah lama ada di negara ini.
“Arak juga dilaporkan menjadi sebahagian cukai yang tinggi di Malaysia.
“Sebenarnya, bukan isu sudah berapa lama ada kilang arak, berapa cukai yang dapat daripada arak ini. Bukan isu itu.
“Isunya, di Malaysia sudah berlaku beberapa kemalangan jalan raya yang diakibatkan oleh pemandu-pemandu yang mabuk dan melanggar orang sampai mati,” katanya dalam kenyataan video rasmi yang dimuatnaik Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin di Facebook.
Malah, Afnan berkata, mengikut hukum Islam penjualan arak dibenarkan dengan syarat mengikut nisbah bukan Islam yang minum arak di sesuatu kawasan.
“Janganlah orangnya sedikit yang minum tetapi arak dijual melampau-lampau seolah-olah kita menggalakkan semua orang mabuk,” katanya yang tampil mengenakan topi dan berkemeja-T warna hijau lambang parti itu.
Sehubungan itu, Afnan menyebut tiga gesaan Dewan Pemuda Pas iaitu kerajaan perlu segera melaksanakan pindaan terhadap akta pengangkutan jalan yang memberikan hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian.
“Kedua, PBT (pihak berkuasa tempatan) mesti menggubal undang-undang kecil supaya menghadkan jumlah jualan arak di tempat tertentu.
“Ketiga, siasat pelaku dengan tegas bagaimana pemandu boleh memandu dalam keadaan PKP pada tengah malam,” ujarnya lagi.
Rata-rata menganggap gesaan Pas berhubung penjualan arak itu terlalu lunak dan tidak relevan memandangkan kuasa sudah ada di tangan dengan pelantikan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).
Pendirian Pas itu juga dilihat jauh berbeza ketika kerajaan PH apabila lantang mendesak supaya arak diharamkan.
Dalam satu ciapan di Twitter oleh Khairil Nizam pada 20 September 2018 misalnya, penegasan tentang perjuangan mengharamkan arak dinyatakan secara terus-terang.
“Ayuh sama-sama kita perjuangkan supaya arak diharamkan terus dari Malaysia. Arak merosakkan manusia,” kata Khairil Nizam.
AMANAH khususnya menjadi sasaran Pas terutama Pengarah Komunikasi parti, Khalid Abdul Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.