Umno Johor hanya mahu jawatan bukan bela rakyat

Umno Johor hanya mahu jawatan bukan bela rakyat



Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang menyatakan kesepakatan Perikatan Nasional (PN) telah dibuktikan dengan pelantikan beberapa nama wakil rakyat dan pimpinan parti PN sebagai pengerusi GLC.
Perkara itu disanggah oleh, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Noor Khalim Sakib, yang mendakwa ternyata perjuangan Umno hari ini hanyalah demi jawatan bukan memperjuangkan nasib rakyat.
Katanya, perkara itu berbeza ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di Johor yang mendahulukan rakyat sehingga janji di dalam manifesto PH berjaya diselesaikan dalam masa 16 bulan.
“Manifesto yang dibawa oleh PH sebelum ini lebih menumpukan permasalahan yang dialami rakyat. Sekiranya dilihat seperti perlaksanaan Universiti Johor, Kad Sihat, Tender Terbuka, Undi Rumah Mampu Biaya (RMB) secara telus dan bermacam lagi menggambarkan komitmen PH.
“Mana mungkin selepas dua bulan memerintah negeri ini, perbincangan Umno yang mengetuai PN hanya membincangkan soal GLC atau penjawatanan di dalam kerajaan negeri.
“Perkara ini jelas menggambarkan yang selama ini Umno hanya bersandiwara mempermainkan rakyat demi kepentingan masing-masing,” jelasnya ketika dihubungi.
Beliau turut menyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Pemuda Umno tersebut sememangnya suatu kenyataan yang khianat terhadap rakyat.
Tambahnya, kenyataan tersebut seperti mereka sedang membahagikan kekayaan negeri kepada golongan mereka sahaja tanpa ada sebarang gerak kerja membela rakyat khususnya bangsa Melayu di negeri ini.
“Selama ini slogan membela Melayu hanya kosmetik mereka untuk mendapat kuasa dan setelah mereka mendapat kuasa perkara yang timbul adalah berkenaan dengan penjawatanan. Slogan membela Melayu akhirnya pudar.
“Jika ukuran mereka hanyalah penjawatanan dalam GLC dan jawatan lain dalam kerajaan negeri, ternyata ia sama sekali rapuh kerana mereka membina kesepakatan hanya dengan kuasa dan jawatan.
“Kita boleh katakan bahawa kenyataan Pemuda Umno itu menggambarkan betapa tidak stabilnya kedudukan PN dan Umno di negeri ini mulai tergugat dengan agenda yang mereka aturkan sendiri,” jelasnya lagi.