Sunday, May 17, 2020

KENYATAAN BERSAMA PAKATAN HARAPAN, BERSATU DAN WARISAN



17 Mei 2020

REAKSI PIMPINAN PARTI TERHADAP ISU MUTAKHIR TERMASUK SIDANG PARLIMEN 18 MEI

Pada hari ini telah berlangsung satu mesyuarat di antara pimpinan utama Pakatan Harapan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN). Mesyuarat ini telah dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang merangkap Pengerusi Pakatan Harapan dan bertujuan membincangkan reaksi blok Pembangkang terhadap persidangan Parlimen yang bakal diadakan esok, 18 Mei 2020.

Mesyuarat telah sebulat suara bersetuju untuk menegaskan tekad dan meningkatkan usaha mengembalikan mandat rakyat dengan keutamaan mengambil alih semula Kerajaan. Ini kerana mesyuarat bersependapat bahawa wujudnya masalah keabsahan (legitimacy) Kerajaan yang berlaku akibat kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin menguji sokongan beliau di kalangan Ahli-Ahli Parlimen di Parlimen pada esok hari.

Mesyuarat turut menimbulkan kekhuatiran terhadap tingkah laku Kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelihatan cuba meraih sokongan dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen melalui pemberian jawatan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta duta-duta bertaraf Menteri. Ini adalah amalan yang tidak baik dan merosakkan perjalanan reformasi institusi yang telah dimulakan lebih 22 bulan yang lalu.

Mesyuarat juga sepakat dalam pandangan bahawa kes 1MDB berkait Riza Aziz, yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama.

Selain itu, mesyuarat telah membincangkan isu di mana beberapa Kementerian baharu telah diwujudkan namun peruntukan perbelanjaan bagi Kementerian-Kementerian ini belum lagi dibentang sebagai Rang Undang-Undang dan belum lagi diluluskan di Parlimen. Ini semestinya akan menimbulkan persoalan berkenaan perjalanan urusan serta sebarang perbelanjaan yang berkait dengan Kementerian-Kementerian ini.

Mesyuarat juga bersetuju bahawa pakej rangsangan berjumlah RM260 bilion yang telah diumum Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini juga masih belum dibentang dan diluluskan Parlimen. Ahli-Ahli Parlimen mesti diberi peluang untuk membahaskan pakej rangsangan ini bagi memastikan tiada ketirisan dalam penyampaian bantuan kepada rakyat.

Kami sebulat suara dan bersatu hati menegaskan bahawa Parlimen lah institusi demokrasi ulung negara yang perlu berfungsi dengan baik bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan tanpa sekatan, di mana sokongan buat seseorang Perdana Menteri perlu diuji dan disahkan, serta tempat di mana Rang Undang-Undang dan masalah rakyat perlu dibincang, dibahas dan diputuskan.

Kami juga tidak berpuas hati dengan keputusan Kerajaan mengadakan sidang untuk hanya mendengar Titah Diraja, serta menegaskan pendirian Pembangkang bahawa Parlimen boleh dan mesti bersidang lebih dari apa yang diusahakan Kerajaan sekarang demi menyegerakan penyelesaian masalah rakyat.

YB Datuk Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ketua Pembangkang

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

YB Tun Dr Mahathir Mohamad
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)

YB Datuk Seri Shafie Apdal
Parti Warisan Sabah (WARISAN)


No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers