APAKAH HANYA SETELAH DUA TAHUN,PERJUANGAN MENUMBANGKAN KLEPTOKRAT MENJADI SIA SIA?


Bagi mereka yang tidak menyokong BN kerana ingin melihat kepimpinan kleptokrat dapat ditumbangkan dalam PRU14 lalu, sekurang-kurangnya dua perkara paling memedihkan hati ketika ini.
Pertama, tumbangnya PH melalui pengkhianatan daripada dalam dengan dibantu oleh penebuk-penebuk atap yang rakus serta ada kes mahkamah dan bukan melalui undi dalam pilihanraya.
Seolah-olah mereka yang khianat itu sanggup berbaik semula dengan kelompok yang sudah ditolak pengundi demi memenuhi kerakusan nafsu peribadi.
Tetapi, pengkhianatan sehingga tumbangnya PH itu mungkin dapat ditebus semula dalam usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad di Parlimen nanti.
Cuma, oleh kerana sessi perbahasan pada Sidang Parlimen 18 Mei ini telah ditiadakan kerana Muhyiddin Yassin masih tidak yakin ada sokongan yang cukup buatnya, usul itu mungkin akan dibentangkan pada sidang selama 15 hari pada 13 Julai akan datang.
Jika tempoh dua bulan sehingga Julai dirasakan oleh Muhyiddin mampu membuatnya menambah sokongan, tempoh dua bulan itu juga tidak mustahil membuatkan sokongan terhadapnya tambah merudum berikutan macam-macam masalah dan kelemahan akan terus berlaku selepas ini.
Oleh itu, tidak mustahil kerajaan akan bertukar semula kepada PH pada Julai nanti melalui undi tidak percaya yang sudah pun sah diterima Speaker untuk dibahaskan.
Kedua, yang tidak kurang membuatkan ramai berasa pedih hati ialah dengan berita pihak pendakwa membebas tanpa melepaskan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz daripada pertuduhan penggubahan wang haram yang dikaitkan sumbernya daripada wang curi 1MDB.
Pembebasan itu, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku setelah PH tumbang dan UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan, kebimbangan ramai ialah ianya merupakan permulaan kepada petanda bebasnya semua pemimpin UMNO yang sedang didakwa di mahkamah ketika ini.
Lebih-lagi itu, cara pembebasan Riza Aziz dengan persetujuan membayar semula sebahagian daripada amaun penggubahan wang haram yang dikaitkan dengannya, bukan saja terus menjadi perdebatan ramai, malah nampaknya masih ada percanggahan antara Peguam Negara baru, SPRM dan Peguam Negara terdahulu, Tommy Thomas.
Sementara SPRM mengatakan pembebasan Riza Aziz itu adalah atas persetujuan Tommy Thomas, yang mana ia kemudian dinafikan oleh bekas Peguam Negara yang telah meletak jawatan pada 28 Februari lalu, Peguam Negara baru, Idrus Harun akhirnya tampil menjelaskan bahawa beliau diberi taklimat oleh Gopal Sri Ram selaku Timbalan Pendakwaraya kes itu bahawa oleh kerana Tommy Thomas setuju secara prinsipnya menerima representasi anak tiri Najib itu, maka beliau membuat keputusan menyetujuinya.
Disebabkan Tommy Thomas telah bertegas sebanyak dua kali sebelum ini menafikan sebarang persetujuan pernah diberikannya untuk membebaskan Riza Aziz, adalah dipercayai beliau akan tampil sekali lagi menolak dakwaan itu.
Dengan itu, tidak mustahil perkara ini akan berterusan beberapa lama lagi.
Isunya penting di sini, kenapa Idrus seolah-olah tiada prinsip sendiri dalam membuat keputusan, sehingga masih perlu bergantung kepada persetujuan secara prinsipnya, jika benar, daripada Tommy Thomas dalam membebaskan Riza Aziz?
Kenapa beliau tidak berani mengatakan ia adalah keputusan mutlaknya selaku Peguam Negara?
Lebih daripada itu, jika benar Tommy Thomas setuju secara prinsipnya untuk membebaskan Riza Aziz, kenapa beliau tidak melakukannya semasa memegang jawatan Peguam Negara?
Bukankah ketika itu Gopal Sri Ram boleh saja membuat pengumuman mengenainya?
Begitu pun, persoalan paling besar di sebalik bebasnya Riza Aziz ini ialah apakah Najib Razak, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin UMNO yang turut diseret ke mahkamah kerana kes penggubahan wang haram, hanya menunggu masa untuk dibebaskan dengan persetujuan mereka memulangkan sejumlah wang kepada kerajaan?
Sebab itu, duluan kes Riza Aziz ini adalah penting untuk melihat sama ada perjuangan menumbangkan regim kleptokrasi pada PRU14 lalu masih berbaloi untuk dibanggakan atau ia sebenarnya sudah menjadi sesuatu yang sia-sia setelah Muhyiddin sendiri merelakan dirinya berpeluk erat dengan pemimpin UMNO yang terpalit kekotoran itu?
Adakah ini juga bermakna rakyat Malaysia perlu bangkit sekali lagi melakukan perubahan dalam PRU15 akan datang? (ShahbudinHusin 17/05/2020)