PKP: Mahasiswa syorkan kerajaan sediakan pengangkutan khas

PKP: Mahasiswa syorkan kerajaan sediakan pengangkutan khas


Gabungan beberapa persatuan mahasiswa mengesyorkan agar kerajaan menyediakan pengangkutan khas bagi membawa pulang mahasiswa dari universiti ke negeri masing-masing.
Itu antara cadangan yang dilontarkan Mahasiswa Malaysia untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April ini.
Mahasiswa Malaysia dalam kenyataan bersama berkata, ia boleh dilakukan secara berperingkat melalui kerjasama strategik pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti dan kerajaan negeri sebelum sambutan Aidilfitri.
“Kami juga mencadangkan untuk pihak KPT dengan kerjasama universiti dan kerajaan negeri, memberikan subsidi bagi menampung sebahagian kos pengangkutan.
“Caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah. Lebih baik jika kos pengangkutan ditampung sepenuhnya tanpa caj bayaran kepada mahasiswa,” katanya lagi.
Selain itu, setiap mahasiswa yang berada di kampus juga disaran untuk melakukan ujian saringan Covid-19 sebelum proses penghantaran ke kampung halaman mereka dilaksanakan.
“Bagaimanapun pelajar yang didapati positif wabak tersebut tidak dibenarkan pulang dan perlu dihantar untuk menjalani proses kuarantin.
“Walaupun mahasiswa yang berada di kampus sudah lebih daripada tempoh kuarantin yang disarankan, sebagai langkah berjaga-jaga usaha ini wajar dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang risiko yang mendatang.
“Selain itu, jika rumah mahasiswa berada di kawasan merah, kami menyerahkan kepada kebijaksanaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan pergerakan mahasiswa yang dibawa pulang mengikuti Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh mereka,” katanya lagi.
Menurut Mahasiswa Malaysia, pihaknya sudi memberikan sepenuh kerjasama dan komitmen kepada KPT dalam membantu memastikan kelancaran perlaksanaan penghantaran pulang mahasiswa ke rumah masing-masing.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI).
Turut serta, Kelab Mahasiswa Penyokong PAS (SiswaPAS), Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa), Kesatuan Perwakilan Mahasiswa Malaysia (KPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Gerakan Pembebasan Akademik (GPA).
Selain itu adalah Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), Mahasiswa AMANAH Nasional, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa), Nadi Mahasiswa Malaysia dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) AGRA Mahasiswa.

No comments: