Ujian antibodi massa boleh tamatkan PKP – Dr Dzulkefly
Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan agar rakyat Malaysia menjalani ujian antibodi Covid-19 secara besar-besaran bagi menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memulihkan ekonomi yang terhenti.
Katanya, ujian massa antibodi Covid-19 perlu dilakukan bagi membolehkan rakyat kembali bekerja kerana ujian itu mampu mengenal pasti individu yang mempunyai antibodi melawan virus.
Antibodi dikeluarkan sistem pertahanan biologi badan untuk melawan jangkitan penyakit.
Menurut Dr Dzul yang kini mengetuai pasukan khas koronavirus di Selangor, ujian antibodi dikenali sebagai ujian serologic hanya berharga RM20 seorang, dibandingkan ujian untuk mengenal pasti virus Covid menelan belanja antara RM300 sehingga RM700 seorang.
“Kaedah paling optimum untuk bergerak ke depan adalah uji kedua-duanya, untuk mereka yang ada virus dan mereka yang ada antibodi
“Memandangkan kita semua bimbang tentang kesan virus kepada ekonomi dan hakikatnya yang syarikat perlu mula mendapatkan hasil pendapatan untuk membayar pekerja mereka, ujian massa antibodi adalah kaedah terbaik
“Saya harap kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan perkara ini atau jika Selangor boleh ketuai cara ini,” kata Dr Dzulkifly dipetik The Malaysian Insight.
Dr Dzulkefly berkata individu yang pulih daripada Covid-19 mempunyai antibodi jenis itu untuk melawan virus
Tambahnya, ada juga individu yang dijangkiti virus tetapi tidak sakit dan menghasilkan antibodi untuk melawannya.
“Orang ini boleh kembali bekerja seperti biasa supaya mereka boleh bantu memulakan semula operasi syarikat atau jika mereka pekerja gaji harian dapat semula pendapatan mereka,” katanya lagi
Industri dan pekerja kini mula bimbang dengan kesan wabak dan perintah kawalan pergerakan yang dilaksana untuk mengawalnya kepada ekonomi.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilanjutkan sehingga 28 April bagi mencegah penularan virus itu.
Setakat semalam, jumlah kes positif Malaysia sudah mencecah 4,346 kes dengan 70 kematian dilaporkan.