KENYATAAN TERBUKA PKAUM KE ATAS NASIHAT PENGGUNAAN APLIKASI TIKTOK MENTERI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA




Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun Swasta (IPTS) merupakan sumber pengetahuan tertinggi dan aset penting sesebuah negara. Tatkala negara malah seluruh dunia dilanda kemelut jangkitan Covid19 yang berleluasa, kepada IPTA/S inilah harapan masyarakat awam bagi mendapatkan penyelesaian masalah dan mengorak halatuju masa hadapan ke arah kehidupan normal kembali. Malangnya Menteri yang bertanggungjawab tidak menggembeling sarjana dari IPTA/S bagi tujuan mulia sebegini tetapi lebih senang untuk berhibur bagi mengelakkan jemu tinggal di rumah dengan ber"TikTok".


PKAUM membantah sekeras-kerasnya cadangan penggunaaan aplikasi TikTok yang bukan sahaja merosakkan penggunaan bahasa tetapi juga melekakan, lantas tidak membantu membentuk individu cemerlang dan proaktif yang menjadi aspirasi sesebuah negara maju dan membangun seperti Malaysia.


Selain daripada memberi galakan kepada warga IPTA/S menggembeling tenaga dan usaha untuk mencari penyelesaian kepada kemelut jangkitan Covid19 ini, Menteri melalui KPT juga sepatutnya menangani masalah terkini yang sedang menghantui komuniti cendekiawan di seluruh negara iaitu memastikan mekanisma pembelajaran efektif berterusan boleh berlaku di setiap kediaman/ ruang isolasi mahasiswa dan pasca-ijazah di negara tercinta kita Malaysia semasa tempoh perintah kawalan pergerakan ini. Di antaranya ialah memastikan kelengkapan, infrastruktur serta jalur gelombang internet mencukupi untuk penggunaan semua warga IPT merangkum pelajar, pensyarah dan guru bagi membolehkan matlamat dan proses  pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan komprehensif dan berkesan.Kekangan yang dihadapi oleh seluruh warga IPT dengan bilangan keluarga dan saiz kediaman yang berbeza dalam melaksanakan kerja dari rumah juga perlu dihargai dan dipertimbangkan. Banyak yang perlu diselesaikan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna.


Sejurus selepas kita dikejutkan oleh drama penggunaan aplikasi Zoom oleh ramai warga IPTA/S yang menyebabkan data dicuri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kini KPT sekali lagi bersifat tidak bertanggungjawab dengan menggalakkan penggunaan aplikasi TikTok yang diketahui umum sedang menghadapi proses saman perundangan di peringkat global disebabkan data peribadi pengguna disalahgunakan dengan begitu mudah oleh pihak ketiga. Lebih menakutkan apabila aplikasi TikTok ini dikatakan memberi ruang jenayah siber terhadap kanak-kanak.

PKAUM mengharapkan Menteri bertanggungjawab kepada IPTA/S mendapatkan nasihat dari cendekiawan serta sarjana terbilang di IPTA/S dalam mencari penyelesaian kepada masalah runcing yang dihadapi oleh negara dewasa ini serta menjadi perintis dalam menjana idea-idea yang berkesan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan yang jauh lebih baik di masa akan datang.

DR NORAISHAH MYDIN BT HAJI ABDUL AZIZ
SETIAUSAHA
PKAUM 2018/2020

No comments: