Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan melebihi sebulan sebelum ini telah dikritik oleh persatuan-persatuan yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menurut pemain industri simpanan ahli-ahli mereka cukup untuk bertahan selama sebulan. Tanpa perniagaan berjalan lebih daripada tempoh itu maka pilihan mungkin menutup operasi.
Bercakap pada forum atas talian anjuran Research For Social Advancement (Refsa), Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang dipetik berkata, lanjutan PKP melangkaui 14 April akan menyebabkan sebahagian PKS menghentikan operasi dan memulakan pemberhentian pekerja.
Beliau berkata Putrajaya sepatutnya membuat keputusan lebih awal tentang berapa lama penguatkuasaan PKP akan dilaksanakan, bukannya membuat lanjutan secara berperingkat, bagi membolehkan PKS bersiap sedia merancang.
“Hari ini ramai yang berharap untuk mula kembali beroperasi pada 14 April, tetapi sekarang ia dilanjutkan dua minggu lagi,” katanya dipetik.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan PKP dilanjutkan hingga 28 April.
Kang berkata beliau dimaklumkan oleh beberapa PKS mereka tidak boleh memohon lanjutan ketika PKP dilanjutkan ke fasa kedua, kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhenti menerima permohonan.
Persatuan perniagaan itu turut mencari cara untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah itu, katanya.
Beliau turut menggesa Putrajaya mempercepatkan proses kelulusan permohonan bantuan kewangan yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi, kerana banyak PKS beroperasi dengan wang tunai yang terhad.
Selain itu, beliau berharap kerajaan akan memudahkan proses permohonan pinjaman mikro.
Kang berkata kaji selidik dilakukan persatuan baru-baru ini mendapati 70% organisasi beroperasi dengan aliran tunai yang terhad.
Beliau juga berharap kerajaan akan membenarkan lebih ramai PKS dalam banyak lagi sektor untuk beropasi secara separa kerana ramai yang menanggung kerugian.
Katanya, bagi sesetengah syarikat, operasi kecil-kecilan akan dapat membantu mereka bertahan, jika berlaku kelewatan dalam pemberian pinjaman.