Belanjawan 2027: Pegawai Gred 9, 10, 12 Naik Pangkat Secara ‘One-Off’, Tertakluk Kekosongan

 

IMG_1660

Penjawat awam yang memenuhi syarat mengikut surat edaran rasmi dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) pada 17 November 2026 akan menikmati kenaikan pangkat secara ‘one-off’ menerusi Belanjawan 2027.

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Belanjawan 2027 yang dibentang pada 9 Oktober lalu bersetuju untuk melaksanakan kenaikan pangkat penjawat awam secara ‘one-off’ kepada pegawai kumpulan pengurusan dan profesional yang difahamkan hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan sahaja.

Menurut surat edaran rasmi dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) pada 17 November lalu, urusan kenaikan pangkat bagaimanapun tidak bersifat automatik dan tertakluk kepada merit yang ditetapkan.

Pihak kementerian, jabatan dan agensi perlu melaksanakan urusan kenaikan pangkat secara ‘one-off’ bagi pegawai yang telah mematuhi syarat ditetapkan, menurut surat berkenaan.

“Antara syarat itu termasuklah berada dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selain telah disahkan dalam perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, kakitangan terlibat juga perlu berada dalam suatu gred lantikan/kenaikan pangkat sebelum atau pada 31 Disember 2026 mengikut tempoh ditetapkan.

Manakala bagi Gred 12 ke Gred 13, tempoh minimum sandangan gred semasa ialah enam tahun selain jumlah perkhidmatan keseluruhan ialah 22 tahun, manakala untuk Gred 10 ke Gred 12 pula, tempoh sandangan gred semasa ialah lapan tahun dan perkhidmatan keseluruhan 16 tahun.

Untuk Gred 9 ke Gred 10, tempoh sandangan semasa ialah lapan tahun dan tempoh perkhidmatan keseluruhan ialah lapan tahun.

“Mereka juga perlu memperoleh markah prestasi 85 peratus dan ke atas bagi tempoh tiga tahun terkini berdasarkan wajaran ditetapkan serta markah prestasi tahun terakhir hendaklah sekurang-kurangnya 85 peratus.

“Ia juga perlu diperaku oleh ketua jabatan dan ketua perkhidmatan selain bebas daripada hukuman tatatertib pada 31 Disember 2026 dan semasa perakuan dibawa kepada Lembaga Kenaikan Pangkat,” katanya.

Perkara berkenaan boleh dirujuk kepada JPA bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung proses yang dilakukan serta kelayakan mereka yang terbabit dengan kenaikan pangkat itu.

”Urusan ini keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk penerimaan oleh pihak berkuasa dan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat masing-masing dengan mengambil kira syarat-syarat dan tempoh yang ditetapkan,” kata surat itu lagi.




No comments: