
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumah Tamu Negara Qilin Villa, Shenzen pada 20 November 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping di Shenzhen, China membawa manfaat besar dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Pertemuan yang berlangsung di Rumah Tetamu Negara Qilin Villa pada 20 November itu merupakan pertemuan dua hala keempat antara kedua-dua pemimpin, sekali gus mencerminkan hubungan erat yang terus diperkukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan amat menghargai hubungan erat yang mencerminkan keyakinan negara Tembok Besar itu mengemudi pemulihan ekonomi dan pelaburan sejak pandemik Covid-19 melanda beberapa tahun lalu.
Antara perkara menarik yang dibincangkan ialah minat Xi terhadap konsep Malaysia MADANI serta keterbukaan China untuk memperluas persefahaman antara tamadun Islam dan Konfusianisme.

Anwar menyifatkan perhatian yang diberikan pemimpin China itu sebagai sesuatu yang istimewa, khususnya apabila sebuah kuasa besar menunjukkan kesediaan memahami pandangan Malaysia berkaitan pembangunan masyarakat dan kerjasama antara tamadun.
Perbincangan turut membuka ruang memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pertukaran akademik dan pelancongan yang mampu mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Selain aspek diplomatik, hubungan strategik Malaysia-China turut mempunyai kepentingan besar terhadap perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi negara.
Kerjasama erat antara kerajaan serta sektor perniagaan kedua-dua negara mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan dan menarik pelaburan berkualiti.
Pertemuan ini menjadi antara agenda penting terakhir Anwar di Shenzhen sebelum kembali ke tanah air selepas menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC 2026.
Jelasnya, hubungan antarabangsa yang dibina atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan kepentingan bersama merupakan aset penting untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing serta menikmati manfaat perkongsian strategik di peringkat global.

No comments:
Post a Comment