Bayangkan berapa banyak sekolah dan hospital boleh dibina, Bang Mat bangkitkan kerugian 1MDB dan Tabung Haji

 


Presiden Parti AMANAH Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan bahawa berpuluh bilion ringgit yang terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan masalah kewangan Tabung Haji sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk membangunkan lebih banyak kemudahan rakyat.

Beliau berkata, skandal 1MDB menyebabkan kerajaan menanggung beban kewangan melebihi RM50 bilion, manakala Tabung Haji pernah berdepan jurang defisit antara aset dengan liabiliti sekitar RM10.9 bilion.

“Bayangkan berapa banyak sekolah, hospital dan kemudahan rakyat yang boleh dibangunkan dengan wang sebanyak itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan, pengalaman tersebut membuktikan pentingnya amanah, integriti dan pentadbiran bersih dalam memastikan kekayaan negara tidak disalahgunakan.

Menurut beliau, Malaysia sebenarnya memiliki kekuatan ekonomi yang besar merangkumi kedudukan perdagangan strategik, sumber alam, kepakaran industri halal serta rakyat berbakat daripada pelbagai kaum.

Malah, katanya, pendapatan per kapita negara meningkat daripada AS$11,650 pada 2024 kepada AS$12,380 pada 2025, sekali gus mencatatkan pertumbuhan sekitar 6.3 peratus.

Tidak membawa makna

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan angka ekonomi semata-mata tidak membawa makna jika masih ramai rakyat berdepan kesukaran membeli rumah, menampung keperluan harian dan memperoleh pekerjaan dengan gaji setimpal.

“Apa maknanya negara semakin kaya kalau masih ada rakyat yang bergelut untuk membeli rumah, membayar keperluan harian dan mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang setimpal?” soalnya.

Mohamad berkata, Malaysia kini semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi, namun kejayaan sebenar perlu diukur melalui peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat.

“Namun, Bang Mat tegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar mencapai gelaran tersebut, tetapi memastikan rakyat menikmati pekerjaan yang lebih baik, gaji yang bermaruah dan peluang ekonomi yang adil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pimpinan serta perwakilan AMANAH yang menghadiri Konvensyen Nasional 2026 supaya memperkukuh organisasi, meningkatkan usaha dan sentiasa mendekati masyarakat.

“Jangan hanya bercakap tentang kemajuan di pentas politik, tetapi turun melihat sendiri kehidupan dan kesusahan rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan AMANAH adalah untuk membina Malaysia yang bersatu, adil dan makmur, dengan kekayaan negara diurus secara amanah serta kemajuan dinikmati seluruh rakyat.

Katanya, segala usaha tersebut bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan generasi hari ini, sebaliknya bagi memastikan anak-anak Malaysia mewarisi masa depan yang lebih baik.






No comments: