Kemelut MB Negeri Sembilan makin pelik, tiada laporan polis dibuat Ismail Lasim

 


Kemelut politik Negeri Sembilan terus mencetuskan persoalan apabila polis mengesahkan belum menerima sebarang laporan daripada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berhubung dakwaan surat peletakan jawatannya diserahkan kepada pihak istana tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan perkara itu, meskipun isu berkenaan sudah beberapa hari menjadi perhatian umum.

“Setakat ini daripada Menteri Besar (Datuk Ismail Lasim) tidak ada lagi,” katanya ringkas, dipetik BH.

Pengesahan itu dibuat ketika polis Kuala Lumpur menerima laporan berhubung surat peletakan jawatan berkenaan, namun laporan tersebut bukan dibuat Ismail sendiri.

Sebaliknya, laporan berkenaan dibuat seorang pesara lelaki berusia 65 tahun di Balai Polis Chow Kit, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira jam 9.55 pagi tadi.

Konspirasi

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin dilapor berkata, pengadu meminta polis menjalankan siasatan berdasarkan beberapa laporan media dan kenyataan yang dirujuknya.

Menurut beliau, pengadu turut meminta polis meneliti kemungkinan wujud kaitan antara isu surat peletakan jawatan Ismail dengan dakwaan konspirasi terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Bagaimanapun, pengadu dilaporkan mengakui tidak mempunyai bukti langsung untuk mengesahkan dakwaan konspirasi tersebut atau menunjukkan pihak sama terbabit dalam kedua-dua isu berkenaan.

Terdahulu, Ismail dilaporkan menegaskan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan terhadap surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada pihak istana.

Perkara itu turut dinyatakan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, semalam.

Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.

Bagaimanapun, pihak istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang diterima pada jam 12.16 tengah malam itu masih belum dapat disahkan.




No comments: