MATI KATAK DAN PECAH BELAH UMAT ISLAM. DOKTRIN YANG MASIH MENJADI IGAUAN HADI AWANG

 

Ahmad Mursi







Tulisan Hadi semalam mengingatkan kita bahawa doktrin politik yang dikaitkan dengan tragedi Memali masih segar dalam pemikirannya.

Jauh daripada menunjukkan keinsafan terhadap luka sejarah itu, beliau sekali lagi mengangkat persoalan akidah untuk menentukan keutamaan dalam pertarungan politik.
Kenapa memerangi rasuah dan mempertahankan akidah perlu disusun seolah-olah salah satunya boleh ditangguhkan? Bukankah kedua-duanya tuntutan agama yang mesti dilaksanakan serentak?
Memanglah rasuah tidak membatalkan akidah. Tetapi kesannya boleh menjahanamkan negara, meruntuhkan institusi, merampas hak rakyat dan melemahkan umat Islam sendiri.
Sejak sebelum tragedi Memali, Hadi sudah menggunakan bahasa agama yang keras terhadap lawan politiknya. Dalam Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong pada 1981, pertentangan dengan UMNO dan BN dikaitkan dengan perjuangan menentang Perlembagaan penjajah, peraturan kafir dan jahiliah. Perjuangan itu turut dibingkaikan dengan konsep jihad dan syahid.
Hari ini, nada yang hampir sama kembali kedengaran. Apabila parti lain bekerjasama dengan bukan Islam, timbul tuduhan berwalikan musuh Islam. Tetapi apabila PAS sendiri bekerjasama dengan DAP dahulu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional, kerjasama itu diberikan tafsiran berbeza.
Padahal Gerakan pernah mencabar pelaksanaan hudud Kelantan di mahkamah. MCA juga pernah menentang hudud. Jadi, apakah sebenarnya ukuran untuk menentukan siapa yang dianggap musuh Islam? Prinsip agama atau kedudukan sebagai kawan dan lawan politik?
Sudah 41 tahun tragedi Memali berlalu. Seramai 18 orang terkorban. Pertikaian tentang punca tragedi itu masih wujud, tetapi luka akibat budaya kafir-mengkafir dan perpecahan masyarakat tidak boleh dipandang ringan.
Cukuplah menggunakan label agama sehingga umat Islam bermusuhan sesama sendiri. Fikirkanlah keluarga yang pernah berpecah, saudara yang terputus hubungan, anak dan bapa yang tidak bertegur sapa, serta waris yang masih menyimpan kesedihan.
Tidak salah untuk bertanya, pernahkah Hadi benar-benar menilai semula kesan retorik politiknya terhadap masyarakat? Dan tidakkah sudah tiba masanya beliau mempertimbangkan permohonan maaf kepada mereka yang pernah terluka?
Kerana apabila nyawa sudah bercerai daripada badan, peluang untuk memohon maaf dan memperbaiki kesilapan tidak akan kembali.

No comments: