“Mereka (yang memberikan fatwa itu) telah membunuhnya, maka Allah membunuh mereka.”
Demikian maksud sabda Rasulullah SAW yang dipetik oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr MAZA) ketika mengulas persoalan siapa yang bersalah dalam tragedi Memali. Frasa dalam kurungan ialah penjelasan konteks hadis.
Dalam ceramah tersebut, Dr MAZA menjelaskan kisah seorang lelaki yang mengalami kecederaan di kepala dan bertanya sama ada dia dibenarkan bertayamum sebagai ganti mandi wajib.
Namun, orang yang dirujuknya mengatakan tidak boleh. Lelaki tersebut akhirnya mandi dan meninggal dunia.
Menurut Dr MAZA, apabila berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda mengecam mereka yang memberikan pandangan tersebut kerana fatwa mereka telah menyebabkan kematian lelaki berkenaan.
“Padahal mereka bukan membunuh. Mereka beri fatwa yang menyebabkan dia itu terbunuh,” jelas beliau.
Mengaitkan pengajaran hadis itu dengan persoalan Memali, Dr MAZA menegaskan:
“Siapa yang mengeluarkan fatwa sehingga orang tampil untuk membunuh orang dan bertempur sesama Islam tanpa sebab, dia menanggung dosa itu.”
Beliau turut mengulangi bahawa dosa tersebut ditanggung oleh pihak yang mengeluarkan fatwa berkenaan.
Bagaimanapun, Dr MAZA tidak menamakan mana-mana individu sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi Memali.
“Saya tak mahu ulas, tuan-tuan faham setakat banyak tu saja,” katanya.

No comments:
Post a Comment