Perkongsian seorang warga sekolah mengenai projek pembinaan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mengundang rasa sebak seorang ibu yang mempunyai anak berkeperluan khas.

 





Perkongsian seorang warga sekolah mengenai projek pembinaan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mengundang rasa sebak seorang ibu yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Segalanya bermula apabila pengguna Threads, @mizshumayra berkongsi berita gembira bahawa sekolahnya sudah memulakan projek pembangunan, termasuk perancangan membina kelas PPKI dan bangunan baharu bagi menampung pertambahan murid.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas sekolahnya terpilih menerima bantuan RM100,000.
“Thank you PMX. Sekolah saya dah start projek pembangunan. Insya-Allah kelas PPKI dan bangunan baru untuk pertambahan murid,” tulisnya.
Namun, apa yang lebih menyentuh hati ialah reaksi seorang ibu yang menggunakan akaun @syuhaidah.sammuri.
Walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan sekolah berkenaan, beliau mengakui cukup gembira dan terharu apabila mengetahui adanya usaha menambah baik kemudahan pendidikan khas.
“Alhamdulillah. Walau takde related tapi bila dengar puan update ni saya rasa happy,” tulisnya.
Lebih menyentuh perasaan apabila beliau menjelaskan bahawa dirinya juga mempunyai anak syurga.
“Apatah lagi pembangunan ini untuk anak-anak syurga. Alaa nak nangis,” katanya.
Bagi ibu bapa yang membesarkan anak berkeperluan khas, kemudahan pendidikan yang sesuai bukan sekadar soal bangunan atau bilik darjah.
Ia berkait rapat dengan peluang anak-anak mereka untuk belajar dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan memenuhi keperluan perkembangan masing-masing.
Sebab itu, berita mengenai pembinaan kelas PPKI boleh membawa makna yang cukup besar kepada keluarga yang melalui pengalaman serupa.
Walaupun hantaran tersebut tidak memperincikan nama sekolah atau sumber khusus peruntukan yang diterima, perkongsian itu memperlihatkan harapan masyarakat terhadap pembangunan pendidikan khas.
Mudah cerita, bagi sesetengah orang, pembinaan kelas baharu mungkin nampak seperti projek pembangunan biasa.
Tetapi bagi ibu bapa anak syurga, setiap usaha menyediakan ruang pembelajaran yang lebih baik membawa harapan besar untuk masa depan anak-anak mereka.






No comments: