Oleh AZLI YUSOF
Setiap kali belanjawan negara dibentangkan, isu hutang baharu dan liabiliti kerajaan sering menjadi perhatian ahli-ahli Parlimen serta masyarakat umum.
Persoalan tentang peningkatan jumlah hutang negara wajar dibincangkan kerana ia melibatkan masa depan kewangan negara dan kesejahteraan rakyat.
Namun, untuk memahami kedudukan sebenar kewangan negara, kita perlu melihat bukan sahaja jumlah hutang, tetapi juga usaha kerajaan mengawal defisit fiskal.
Apa beza hutang dengan defisit?

Bayangkan sebuah keluarga memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan, tetapi berbelanja RM6,000. Keluarga itu mengalami kekurangan RM1,000. Jika kekurangan tersebut ditampung melalui pinjaman, jumlah hutangnya akan bertambah.
Apabila keluarga itu berjaya mengurangkan kekurangan bulanan kepada RM300, defisitnya sudah mengecil. Namun, hutang terdahulu tidak hilang begitu sahaja.
Begitu juga dengan kerajaan.
Hutang ialah jumlah pinjaman yang masih belum dibayar, manakala defisit fiskal ialah keadaan apabila perbelanjaan kerajaan melebihi hasil dalam sesuatu tempoh.
Negara masih memerlukan pembiayaan untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur serta menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat. Sebahagian keperluan ini dibiayai melalui pinjaman kerajaan.
Persoalannya ialah bagaimana pinjaman tersebut diurus, bagaimana perbelanjaan dikawal dan bagaimana kemampanan kewangan negara dapat dipelihara.
Di sinilah pentingnya reformasi fiskal.
Melalui Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA 2023), kerajaan memperkukuh kerangka disiplin dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan awam.
Berdasarkan trend 5 tahun terdahulu, nisbah defisit fiskal menurun daripada 6.4% KDNK pada 2021 kepada 5.5% pada 2022, 5.0% pada 2023, 4.3% pada 2024, 3.7% pada 2025 dan 3.6% pada 2026.
Sasaran bagi 2027 pula ialah 3.3%.
Angka ini menggambarkan hala tuju pengurangan defisit secara berperingkat, dengan sasaran menuju 3.0% daripada KDNK. Ini yang sedang dilakukan Kerajaan Madani.
Perlu difahami bahawa defisit yang semakin kecil tidak semestinya bermaksud jumlah hutang negara turut menurun. Selagi kerajaan masih mengalami defisit yang memerlukan pembiayaan, hutang boleh terus meningkat.
Oleh itu, perbahasan mengenai hutang negara perlu disertai penelitian terhadap trend defisit, kos khidmat hutang, pertumbuhan ekonomi, hasil kerajaan dan keberkesanan perbelanjaan pembangunan.
Perbezaan pandangan dalam kalangan ahli politik dan masyarakat merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang. Yang lebih penting ialah memastikan perbahasan ini berasaskan fakta, angka dan penilaian yang menyeluruh.
Pembangunan perlu diteruskan, hutang perlu diurus dengan bertanggungjawab dan defisit fiskal perlu dikurangkan secara konsisten.
Matlamat akhirnya ialah memastikan kewangan negara kekal mampan, pembangunan dapat diteruskan dan kepentingan generasi akan datang terus terpelihara.
Inilah WAAD HARAPAN.

No comments:
Post a Comment