Gaji Minimum Bukan Alasan Naik Harga Barang

 

doc7gyn9d2eqf41kmsah3o0

Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman.

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Penetapan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai 1 Jun 2027 bukan alasan untuk menaikkan harga barang memandangkan peningkatan kos operasi perniagaan bukan semata-mata berpunca daripada kenaikan upah pekerja.

Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangsa, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sebaliknya kesan kenaikan kos operasi dan pengeluaran banyak bergantung kepada faktor kos pengeluaran, rantaian bekalan dan keadaan ekonomi.

Katanya, meskipun majikan dijangka menanggung peningkatan kos operasi antara 10 hingga 12 peratus susulan kenaikan gaji minimum, namun kesannya tidak sama bagi semua syarikat.

Beliau berkata, kesan lebih ketara dijangka dirasai syarikat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap tenaga kerja sehingga boleh menjejaskan margin keuntungan, aliran tunai dan kemampuan mengambil pekerja baharu.

“Kadar kenaikan harga kepada pengguna pula tidak dapat ditentukan kerana setiap perniagaan mempunyai kos operasi berbeza.

“Ada syarikat yang mungkin menaikkan harga, ada yang menyerap sebahagian kos melalui margin keuntungan yang lebih rendah dan ada yang meningkatkan produktiviti atau mengurangkan perbelanjaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, lebih empat juta pekerja akan menikmati kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, iaitu peningkatan RM300 atau 17.6 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan beberapa inisiatif termasuk peningkatan gaji minimum, kebajikan pekerja gig dan peluang latihan yang memenuhi keperluan industri.

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, kenaikan gaji sebanyak 17.6 peratus bagi pekerja yang terlibat tidak bermakna harga barang dan perkhidmatan juga perlu meningkat sebanyak 17.6 peratus.

“Kita perlu memahami selain soal gaji minimum pekerja. Bagi majikan, kosnya lebih tinggi kerana kita turut membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober 2026. Foto PMO

“Jika ada tuntutan kerja lebih masa dan bayaran lain berkaitan gaji, semuanya berdasarkan gaji lebih tinggi. Kos operasi sememangnya meningkat dan kos tambahan boleh meningkat sekitar 10 hingga 12 peratus.

“Tidak tepat untuk menetapkan satu angka peratusan kenaikan kos operasi yang terpakai kepada semua syarikat tanpa mengambil kira struktur kos dan keadaan perniagaan masing-masing,” katanya.

Oleh Fatin Norizati Mat Isa




No comments: